KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kerana memiliki sebilah ‘katana’ sepanjang 57 sentimeter tanpa alasan munasabah.
Galau Abun, 35, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan.
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Bau-Serikin, sekitar 11 pagi, 24 Januari lepas.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman penjara.
Berdasarkan fakta kes, pengadu lelaki merupakan orang awam membuat laporan polis mengenai dua lelaki yang tidak dikenali, dipercayai melakukan khianat memotong kabel di sebuah pusat elektrik di Bau.
Tangkapan dilakukan terhadap tertuduh yang berada di sebuah kenderaan jenis sedan Proton Wira dan pemeriksaan terus dijalankan.
Hasil pemeriksaan menemukan sebilah katana, parang, gergaji kayu, segulung kabel, dan dua unit telefon bimbit.
Kenderaan yang digunakan tertuduh juga turut dirampas.
Hasil siasatan mendapati tertuduh memiliki senjata berjadual tanpa tujuan sah iaitu sebilah katana di tempat duduk penumpang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



