TATAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Tatau, ditemui meninggal dunia sekitar 11 pagi, berhampiran rumah panjangnya di Rh Enjan, Nanga Biban.
Mangsa dikenali sebagai Alexsen Gindi, 24, ditemukan kira-kira lima meter dari tebing sungai oleh ahli keluarga dan orang awam sebelum dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu dari Balai Polis Tatau pada 10.12 malam, Selasa (3 Jun).
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau yang diketuai PBK I Mohd Hafizam Hasbi bergegas ke lokasi sejauh 24 kilometer dan tiba lima minit kemudian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi diteruskan pada hari kedua pagi tadi melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan bomba,” ujar kenyataan
Tambah kenyataan, pada 9.10 pagi, pasukan SAR dimaklumkan bahawa mangsa ditemui oleh penduduk kampung.
“Susulan itu, bot aluminium milik bomba dan polis digerakkan ke lokasi penemuan mayat yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Tatau untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan pada 11.45 pagi atas arahan Sarjan Hasbullah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tatau,” jelas kenyatan.
Operasi melibatkan lima anggota bomba, enam anggota polis dan empat anggota APM, menggunakan satu bot aluminium dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.


