MIRI: Seorang lelaki mengalami kelecuran pada bahagian tangan dan muka setelah berusaha menyelamatkan diri dalam satu insiden kebakaran yang berlaku di Taman Ceria di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, berkata pihaknya telah menerima panggilan yang melaporkan mengenai insiden tersebut sekitar jam 10.10 pagi, sebelum mengerahkan pasukan operasi ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah tilam dan struktur bilik berukuran lebih kurang lapan kali lapan kaki di tingkat bawah bangunan dua tingkat, dan peratusan kebakaran hanya lebih kurang lapan peratus.
“Penghuni terdiri daripada seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan warga emas, namun mereka berjaya menyelamatkan diri.
“Pemeriksaan dilakukan ke atas kedua-dua mangsa, dan didapati mangsa lelaki mengalami kelecuran pada bahagian tangan dan muka, kemudian kedua-dua mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, pihak bomba hanya melakukan pemantauan di lokasi kejadian kerana kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan oleh jiran mereka dengan menggunakan air.
Bagaimanapun, katanya, punca kebakaran masih lagi dalam siasatan oleh pihak bomba.






