MUKAH: Seorang nelayan tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan di tangga sebuah premis perniagaan di Jalan Setia Raja, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira jam 8.30 malam hasil maklumat risikan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 38 tahun itu menemukan satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam simpanannya.
“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah sebanyak 0.46 gram. Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Muhamad Rizal, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang bekerja sebagai nelayan dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah kini direman selama tiga hari sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan,” katanya.





