KUCHING: Seorang lelaki di bawah Orang Pengawasan Polis (OPP) dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, kerana menceroboh masuk sebuah rumah milik seorang wanita berusia 51 tahun di Bukit Mata, Mac lalu.
Mohammad Shafiq, 37, menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan semasa sebutan semula bagi pengurusan kes sementara menunggu dibicarakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 17 Akta Pencegahan Jenayah 1959, kerana menceroboh masuk untuk melakukan jenayah di dalam sebuah rumah milik mangsa.
Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (14) Akta Pencegahan Jenayah 1959, kerana melanggar perintah sebagai OPP apabila meninggalkan kawasan kediaman tanpa kebenaran yang sah dalam waktu tertentu yang ditetapkan.
Musli menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan, selain memerintahkan hukuman berjalan secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mac lepas.
Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Padungan, Bukit Mata, sekitar 12.45 tengah malam, 30 Mac lepas.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu melaporkan kepada pihak polis bahawa rumah ibunya dipecah masuk.
Sekitar 1.35 pagi, pihak polis tiba di lokasi kejadian lalu menangkap tertuduh yang bersembunyi di dalam tandas.
Hasil siasatan mendapati tertuduh ialah OPP yang dikenakan perintah pengawasan selama 15 bulan bermula 17 April 2025 hingga 16 Julai depan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah 1959, kerana terlibat dengan pelbagai kes jenayah curi.
Tertuduh dikehendaki melapor diri setiap Isnin dan Khamis di Balai Polis Sentral sepanjang tempoh pengawasan polis.
Tertuduh juga sepatutnya berada di rumah kediaman antara 8 malam hingga 6 pagi.
Namun, pada masa kejadian, dia melanggar syarat pengawasan kerana tidak berada di rumah.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmawi Nur Haqim Mokhtar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



