KUCHING: Seorang lelaki berusia 22 tahun maut dalam kemalangan motosikal di Jambatan Tun Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin, sekitar jam 3 petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Petra Jaya menuju ke Pending dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Farhan, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Russell Stetson Junner di talian 013-8578601 / 082-259900 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.
“Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama,” katanya.



