MIRI: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti ketika berjalan kaki di tepi jalan di Kilometer 826.9 Lebuh Raya Pan Borneo, arah Miri-Bintulu, petang Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, laporan kemalangan itu diterima Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Miri sekitar 4.40 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa, berusia lingkungan 40-an hingga 50-an, sedang berjalan kaki di bahu jalan sebelum dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang masih belum dapat dikenal pasti.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Ladang Tiga pada 4.05 petang,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Farhan menambah, polis percaya pemandu kenderaan terbabit melarikan diri sejurus selepas kemalangan.
Menurut maklumat awal daripada penduduk setempat katanya, kali terakhir mangsa dilihat adalah pada 16 Oktober lalu di sekitar Kampung Subis 1, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
“Saksi mendakwa melihat mangsa berjalan kaki tanpa berbaju dan hanya memakai seluar pendek ketika itu.
“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati lelaki itu berbadan sedikit gempal dan tidak mempunyai sebarang tatu yang boleh membantu proses pengecaman identiti,” katanya.
Setakat ini, polis masih berusaha mengenal pasti identiti mangsa serta sedang mengesan kenderaan yang terlibat dalam insiden berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammad Amiruddin Hamdan di talian 018-9529957 atau 085-433400, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis turut menyeru mana-mana individu yang mengenali mangsa atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan, selain menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhemah dan berhati-hati semasa memandu,” katanya.





