Lelaki maut motosikal bertembung Myvi

KUCHING: Seorang lelaki warga tempatan maut setelah motosikal ditunggangnya terlibat dalam kejadian kemalangan jalan raya di simpang lorong 6, Taman Malihah Matang, sekitar pukul 10 malam, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan mangsa, Jeremy Samuel Joseph berusia 20 tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan kecemasan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, kejadian membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha SRX bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Perodua Myvi di tempat kejadian.

“Hasil maklumat awal kejadian mendapati motosikal tersebut dalam perjalanan dari arah Taman Malihah menuju ke Kampung Kudei.

“Sejurus kemudian motosikal yang ditunggangi mangsa telah berlanggar dengan kenderaan jenis Myvi yang sedang masuk ke simpang lorong 6, Taman Malihah Matang dari arah Kuching.

“Mangsa (penunggang) tercampak ke bahu jalan akibat daripada pelanggaran terbabit,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa seterusnya segera dibawa ke hospital bagi menerima rawatan kecemasan.

“Pihak pegawai perubatan HUS telah mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Susulan itu, katanya, pihaknya kini masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dedahnya, kenderaan terbabit seterusnya turut di bawa ke balai trafik Padawan bagi tujuan pemeriksaan PUSPAKOM dan jabatan kimia dijalankan.

Suara Sarawak