KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang besi di Kilometer 13, Jalan Datuk Mohd Musa, awal pagi tadi.
Mangsa, Maxkey-Syaverter Anak Ah-Nyet, 32, yang bekerja sebagai pemandu lori, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan pada pukul 3.03 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 1.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati motosikal jenis Modenas Ninja ZX250 yang ditunggang mangsa dari arah Petronas Samarindah menghala ke Kampung Quap dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar penghadang besi.
“Kesan pelanggaran menyebabkan motosikal mengalami kerosakan teruk di beberapa bahagian, sementara mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Superintenden Damataries turut memaklumkan bahawa kemalangan berlaku di jalan dua lorong satu hala dengan cuaca baik serta permukaan jalan yang rata dan kering.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat, manakala motosikal dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Samarahan untuk siasatan lanjut,” tambahnya.



