LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 30-an meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut, Lahad Datu pada tengah hari tadi.
Menurut Bernama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.
Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan pengusung dan tali setelah pihak Sabah Electricity Sdn Bhd memotong bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala identiti mangsa tidak diketahui kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Operasi tamat pada jam 1.36 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.



