SIBU: Seorang lelaki berusia 35 tahun maut dipercayai akibat tertembak ketika memburu bersama rakannya di kawasan kebun kelapa sawit di Pasai Siong Tengah, awal pagi Selasa (22 April).
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, dalam kenyataan hari ini (Rabu), memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar jam 4.34 pagi.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan yang dipercayai akibat tembakan senjata api. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelas beliau.
Berikutan insiden itu, polis telah menahan seorang lelaki berbangsa Iban berumur 38 tahun untuk membantu siasatan. Perintah tahanan reman telah diperoleh bermula 22 April hingga 27 April bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Mohd. Adzmei Ahmad di talian 016-8095757 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujar Zulkipli.



