BAU: Seorang lelaki berusia 26 tahun berdepan enam pertuduhan di Mahkamah Majistret Bau hari ini atas dakwaan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kelas 2, Danny Ngumbang Martin Engkujang.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, berdasarkan rekod mahkamah, kes tersebut melibatkan beberapa laporan polis berasingan yang difailkan antara 16 hingga 29 April 2026, dengan siasatan dikendalikan oleh beberapa pegawai penyiasat termasuk dari Jabatan Siasatan Jenayah Bau.
“Antara laporan terlibat ialah Bau/RPT/1652/2026, Bau/RPT/1670/2026, Bau/RPT/1695/2026, Bau/RPT/1696/2026, Bau/RPT/1742/2026 serta Bau/RPT/1792/2026, yang kesemuanya diklasifikasikan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Haide menambah, kesemua pertuduhan tersebut dikendalikan oleh beberapa pegawai penyiasat termasuk Inspektor Vimal Nathan a/l Ranganathan, Sarjan Samson Runyen serta Sarjan Mejar Patrick Mail.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan yang mempunyai pekerjaan tetap.
“Namun, tertuduh gagal membayar jaminan tersebut dan terus direman sementara menunggu prosiding seterusnya.
“Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mei 2026 di Mahkamah Majistret Bau bagi membolehkan proses pendakwaan lanjut dijalankan,” katanya lagi.
-tamat-



