Lelaki pecah masuk premis melalui tingkap tandas ditahan

BINTULU: Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes pecah premis sebuah syarikat di ParkCity Commercial Centre, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata saspek berumur 30 tahun itu ditahan di sebuah hotel bajet di sini oleh sepasukan anggota polis daripada cawangan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu, petang Sabtu.

Hasil pemeriksaan di bilik sewa saspek,katanya, pihak polis menemui seunit komputer riba, seunit tablet, empat unit telefon bimbit pelbagai jenama, beg dan jam tangan dipercayai ada kaitan dengan kes yang dilaporkan mangsa.

Saspek, kemudiannya, dibawa ke Balai Polis Pusat Bintulu untuk tindakan lanjut.

Zulkipli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah premis.

Jika sabit kesalahan, saspek bakal berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pengadu dalam laporan polis pada 29 Januari, kira-kira 11 pagi, bertempat di sebuah syarikat di Parkcity Commercial Centre Bintulu, seorang lelaki menyedari pejabatnya telah diselongkar.

Pemeriksaan lanjut mendapati komputer riba dan wang tunai berjumlah lebih kurang RM5, 000 telah hilang dipercayai telah dicuri.

Dua jam selepas itu, kira-kira jam1.18 petang, setelah pihak polis menerima laporan telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil siasatan di tempat kejadian mendapati saspek pecah masuk melalui tingkap tandas pejabat pengadu.

Suara Sarawak