MIRI: Seorang pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun terpaksa melarikan diri ke rumah kenalan berhampiran selepas diekori lelaki separuh bogel yang didakwa mengganggunya secara seksual ketika berjalan kaki pulang dari sekolah di Desa Pujut, di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian jam 1.15 tengah hari pada 15 Oktober lalu itu berlaku ketika mangsa berjalan kaki pulang dari sekolah dan diekori suspek yang memandu kenderaan.
Suspek yang berada dalam keadaan separuh bogel serta memperlihatkan kemaluannya, menghampiri dan menyapa mangsa sebelum menawarkan wang sebagai balasan jika mangsa bersetuju melakukan hubungan seks.
Mangsa segera melarikan diri ke rumah kenalan berhampiran bagi menyelamatkan diri sebelum tampil bersama keluarga membuat laporan polis jam 3.20 petang pada hari sama.
Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri berjaya menahan suspek di Marina Parkcity kira-kira jam 2 petang pada 16 Oktober.
Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun yang mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau. Polis turut merampas telefon bimbit serta kenderaan yang digunakan ketika kejadian.
Mohd Farhan menambah, suspek direman selama tiga hari sehingga 20 Oktober mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa kepada suspek dengan modus operandi sama supaya tampil membuat laporan polis, sambil menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan jenayah demi menjamin keselamatan masyarakat di Miri.
/tamat/



