KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana menampar seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dikatakan memancitkan tayar vannya dalam satu kejadian di Kampung Asajaya, 11 Mac lepas.
Kejadian tersebut tular di media sosial Facebook minggu lalu memaparkan kesan tamparan pada wajah kanak-kanak.
Tertuduh, 47, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Shafiza Datu Abdul Razak Tready.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan menampar muka mangsa hingga mengalami cedera lebam.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia melakukan kesalahan itu di Kampung Asajaya Ulu, sekitar 9.30 pagi, pada 11 Mac lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan bapa mangsa dimaklumkan oleh anak lelakinya berusia 9 tahun tentang abangnya dipukul oleh seorang lelaki.
Pengadu kemudian bertanyakan kepada anaknya mengapa abangnya dipukul dan dia memberitahu disebabkan mangsa memancitkan tayar van milik tertuduh.
Namun, anaknya menafikan sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.
Mangsa mengalami lebam pada pipi sebelah kiri dan kesan tampar serta sakit di bahagian tangan kanan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Laporan polis turut dilakukan ke atas tertuduh untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendedahkan tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menampar pipi kiri sebanyak tiga kali.
Tertuduh juga telah membuat laporan polis terhadap perbuatan kanak-kanak tersebut selain mengaku menampar mangsa.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin, manakala tertuduh diwakili Peguam Athur Liang Dawat.






