KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bermain judi dalam talian di tempat awam, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Faiz, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didapati bermain judi di tempat awam pada 29 April 2026 kira-kira jam 1.50 petang di sebuah premis berhampiran Jalan Astana, Petra Jaya, Kuching.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Balai Polis Santubong, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menjalankan serbuan di lokasi kejadian selepas membuat intipan selama kira-kira 15 minit.
Hasil serbuan, tertuduh ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di tempat awam.
Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah telefon bimbit yang digunakan untuk berjudi mengandungi unsur perjudian, manakala tertuduh turut menyerahkan sendiri telefon tersebut kepada pihak polis semasa tangkapan dilakukan.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta sekeping kertas yang mengandungi catatan nombor dan huruf dipercayai berkaitan kegiatan judi dalam talian.
Susulan itu, tertuduh didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nurshafiqa Nyaie Ilin.


