ARTIKEL

TANGKAPAN LAYAR…Keadaan pejabat dirosakkan oleh seorang lelaki, semalam.

Lelaki tempatan rosakkan barang pameran di pejabat gara-gara tidak puas hati

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Gara-gara tidak berpuas hati dengan layanan diterima, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun bertindak di luar kawalan dengan merosakkan beberapa barangan pameran di sebuah pejabat jualan di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari sebelum seorang wanita tempatan berusia 23 tahun tampil membuat laporan polis berhubung insiden itu.

“Hasil maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Maong segera ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek di tempat kejadian pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral Kuching dan telah direman selama empat hari bermula 24 hingga 27 Oktober 2025 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, jelasnya.

Tambahnya, siasatan awal mendapati suspek bertindak agresif selepas berasa tidak puas hati terhadap layanan kakitangan di premis berkenaan.

Alexson turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu apabila berdepan situasi yang menimbulkan kemarahan atau ketidakpuasan hati.

“Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Bertindak secara rasional, bukan dengan cara yang boleh mengundang tindakan undang-undang,” tegasnya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu untuk menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Salina Drahman di talian 014-6828067.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU