KUCHING: Seorang lelaki tempatan terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan, atas kesalahan membunuh seorang pembeli lada dengan menembak mangsa menggunakan senapang patah.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Seri Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menerima rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman mati terhadap perayu, Chong Fook Fatt, 49, atas keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Oktober 2022.
Keputusan sebulat suara ketiga-tiga hakim itu susulan pindaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan—hukuman mati sepatutnya ditukar kepada penjara berdasarkan keadaan dan fakta kes.
Pindaan Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, juga boleh dihukum tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah memerintahkan perayu menjalani hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 2 Ogos 2016.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee, manakala perayu diwakili Peguam Lantikan Mahkamah Osman Ibrahim dan Fadzillah Osman.
Fook Fatt didakwa membunuh Chong Siew Kiong di ladang lada hitam di Kampung Jugan, Jalan Bau-Lundu pada 21 Jun 2016.



