Lelaki tidak berindentiti minta wang perlindungan di kedai

KUCHING: Seorang lelaki tidak berindentiti dipercayai telah melakukan ugutan dengan meminta wang perlindungan daripada salah seorang pekerja di sebuah premis Jalan Tunku Kampung Astana sekitar jam 3.40 petang, hari ini.

Kejadian tersebut difahamkan tular melalui sebuah rakaman video Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang berdurasi sekitar seminit di laman media sosial dan mendapat kecaman daripada pengguna media.

Pemilik premisnya, Salleh Rambli bagaimanapun mengesahkan bahawa lelaki terbabit yang dikenali sebagai Budiman datang ke premis hanya untuk meminta pekerjaan namun ketika kejadian beliau tidak berada di premis berikutan menghantar anaknya ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Katanya, Budiman yang terkejut melihat videonya tersebar di laman sosial terus menghubunginya dengan menyatakan bahawa tindakan meminta wang perlindungan daripada salah seorang pekerjanya hanyalah gurauan semata-mata.

“Budiman datang ke kedai untuk bertemu saya, kelakuannya meminta wang perlindungan telah menakutkan pekerja saya sehingga mereka rasa takut namun dia hanya bergurau.

“Bapanya, iaitu sahabat saya difahamkan telah meninggal dunia pada seminggu lalu, dia memilih untuk meminta pekerjaan daripada saya berikutan dia sukar mendapat pekerjaan selepas menjadi banduan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, beliau turut terkejut apabila video rakaman tersebut telah tersebar dengan menyatakan bahawa premisnya telah diugut oleh samseng bahaya di kawasan Kuching.

Suara Sarawak