KUCHING: Seorang lelaki warga emas maut selepas terjatuh dari sebuah bangunan tempat letak kereta bertingkat di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.41 petang.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati telah terjatuh sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan.
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, kata PGO.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.06 petang.






