KUCHING: Seorang lelaki warga emas melecur di tapak kaki kiri dan kanan apabila bilik tidur rumahnya, di Jalan Penrissen, Batu 4 1/2, di sini terbakar malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.38 malam lalu mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan bantuan dari BBP Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran berlaku di sebuah bilik tidur, tingkat atas rumah dua tingkat yang terbakar 50 peratus.
“Mangsa, 60, yang cedera telah dihantar unit EMRS Batu Lintang ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan membentangkan satu aliran hos, 300 kaki, dua nozel, sumber air dari pam jentera sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.58 malam dan kerja-kerja pengudaraan dijalankan di lokasi kerana asap tebal di dalam bilik tersebut.
Pasukan bomba bertolak balik ke balai setelah mendapati keadaan selamat.




