ARTIKEL

Lelaki warga emas rugi RM415,000 ditipu tawaran permit haji

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tawaran kononnya untuk mendapatkan permit haji serta peluang pelaburan perniagaan hotel di Mekah membawa padah apabila seorang lelaki warga emas kerugian RM415,000 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan bersemuka.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata kes berkenaan kini disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Mangsa berusia 62 tahun itu dipercayai diperkenalkan kepada suspek lelaki Melayu ketika berada di sebuah restoran di kawasan Clock Tower, Mekah pada 30 Oktober 2024.

“Dalam pertemuan itu, suspek didakwa menawarkan satu skim pelaburan yang dikaitkan dengan pengurusan penginapan jemaah haji dan umrah, selain menjanjikan peluang mendapatkan permit haji melalui saluran tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Alexson, mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut kemudiannya melakukan enam transaksi pembayaran ke dua akaun bank berbeza.

Sebahagian transaksi, katanya turut dibuat selepas dia kembali ke Kuching, Sarawak pada 10 November 2024.

“Bagaimanapun, selepas semua pembayaran dilakukan, mangsa mula menyedari beliau telah diperdaya apabila tiada sebarang pulangan atau pengesahan seperti dijanjikan, sekali gus mengalami kerugian keseluruhan RM415,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menegaskan sindiket penipuan kini semakin kreatif dengan menjadikan urusan ibadah seperti haji dan umrah sebagai umpan bagi mempengaruhi mangsa, khususnya golongan berusia.

Orang ramai, katanya diingatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan atau urusan kewangan yang dibuat secara bersemuka oleh individu tidak dikenali, walaupun kelihatan meyakinkan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai membuat semakan awal melalui aplikasi Check Scammers CCID dan portal Semak Mule di http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan, selain menggunakan aplikasi Whoscall bagi mengenal pasti panggilan mencurigakan,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU