KUCHING: Sarawak mengambil satu langkah penting untuk memperkukuhkan kawalan terhadap industri padi dan beras, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak, 2026.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata RUU itu adalah untuk memperkasakan Sarawak dalam mengurus, membangunkan dan mengekalkan industri padi dan beras demi manfaat rakyat, baik pada masa kini mahupun untuk generasi akan datang.
“RUU ini menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak sebagai sebuah badan korporat dengan penggantian berterusan dan meterai korporat, yang berkeupayaan untuk menyaman dan disaman, memperoleh, memiliki, memegang, memajak atau melupuskan harta alih dan tidak alih, serta melakukan apa-apa tindakan lain yang sah di sisi undang-undang bagi sebuah badan korporat.
“Bagi tujuan Kanun Tanah, lembaga ini hendaklah dianggap sebagai anak negeri,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut, yang kemudiannya dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Menjelas lanjut, Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata RUU itu memperuntukkan takrif yang menyeluruh bagi padi atau beras, dengan merangkumi padi atau beras daripada apa-apa spesies atau varieti yang diperoleh daripadanya dalam apa jua bentuk dan termasuk produk padi serta produk beras.
Selain itu, katanya RUU berkenaan turut mentakrifkan produk padi atau produk beras sebagai apa-apa produk yang diperoleh secara langsung daripada padi atau beras, serta apa-apa produk yang dihasilkan atau diperoleh sepenuhnya atau sebahagiannya daripada produk tersebut atau daripada bahan tanaman padi.
“Takrif-takrif ini penting bagi memastikan skop RUU ini cukup luas untuk merangkumi bukan sahaja padi dan beras mentah, tetapi juga produk hiliran dalam rantaian nilai padi dan beras,” katanya.
Bagi kuasa dan fungsi, Rundi berkata tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis, lembaga mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen, mengutip fi, melantik ejen dan pakar, menggalakkan penyelidikan, membangunkan strategi pemasaran, mengkomersialkan hasil penyelidikan, melindungi kepentingan industri padi dan beras serta menasihati kerajaan mengenai perkara-perkara dasar.
Beliau menambah, RUU itu selanjutnya memperuntukkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam warta, mengisytiharkan mana-mana kawasan tanah negeri sebagai kawasan pembangunan padi, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkan sesuai untuk dikenakan.
“Lembaga boleh, sama ada sendiri atau melalui kerjasama atau penglibatan dengan mana-mana pihak, melaksanakan fungsinya untuk membangunkan kawasan pembangunan padi tersebut selaras dengan ordinan ini atau peraturannya,” katanya.
Justeru, Rundi menegaskan RUU itu bertujuan beroperasi seiring dengan kerangka perundangan dan kawal selia sedia ada, melengkapi undang-undang dan dasar semasa dalam memperkukuhkan keterjaminan makanan negara, dengan penekanan khusus kepada keperluan Sarawak.
Katanya ia tidak akan bercanggah atau mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan, dan direka untuk berfungsi dalam bidang kuasa perlembagaan dan perundangan negeri, dengan memberi tumpuan kepada aspek seperti perancangan pengeluaran, pengurusan pengedaran, pembangunan petani dan sistem pemantauan.
“RUU ini menyediakan platform perundangan bagi negeri melaksanakan fungsi-fungsi tersebut dan, jika sesuai, membolehkan penerimaan penurunan kuasa daripada Kerajaan Persekutuan.
“Dengan berbuat demikian, ia memastikan Sarawak dapat melaksanakan kawalan yang bermakna terhadap industri padi dan berasnya tanpa menjejaskan kuasa persekutuan, sambil menyediakan kepastian dan kejelasan undang-undang bagi inisiatif yang diterajui oleh negeri,” katanya.



