SEJAK bertapak di Bumi Kenyalang pada 1999 dan menyertai lima Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat ‘pusingan U’ apabila mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam PRU Sarawak Ke-13 pada 12 Disember depan.
PKR mengikut jejak langkah, Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang tidak bertanding, dan terkini Parti Wawasan Negara (Wawasan). Ia bermakna hanya Parti Tindakan Demokratik (DAP) daripada komponen Pakatan Harapan yang bertanding.
Keputusan PKR dimuktamadkan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak lewat malam kelmarin, empat hari sebelum penamaan calon Sabtu ini. Ia bagi menghormati persefahaman politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) Ahad lalu, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan semangat setia kawan dan kerjasama politik yang menjadi asas kestabilan Kerajaan Persekutuan perlu terus dipelihara, bukannya dirosakkan melalui persaingan yang boleh memecahbelahkan perpaduan.
“Kenapa rakan setia nak dilawan? Mereka yang tidak melawan, saya ucap terima kasih.
Tapi kalau nak melawan, kita sedia berlawan,” tegas Abang Johari.
Realitinya, GPS memainkan peranan dalam memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Persekutuan menerusi semangat setia kawan, dan kesediaan bekerjasama dengan pihak yang mempunyai perbezaan politik.
Kata Abang Johari lagi: “Sarawak kuat, Malaysia kuat. Sarawak maju, Malaysia maju.”
Dua petunjuk awal PKR tidak bertanding.
Pertama, tiada perbincangan serius mengenai kerjasama dengan DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) seperti yang dijelaskan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Mahmud Epah, Ahad lalu.
Katanya, perbincangan belum menjurus kepada pembentukan sebarang kerjasama politik secara formal. Kedua, Isnin lalu Abang Johari dikunjungi Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Abang Johari, pertemuan tersebut berlangsung santai, sambil menikmati air Milo. Saifuddin menerima maklum balas daripada penerangan serta pendirian pihaknya.
Yang pasti, keputusan muktamad PKR itu bukan sahaja mengejutkan pemerhati politik yang menjangkakan pertarungan di beberapa kerusi tradisi, malah mencerminkan perubahan besar dalam percaturan geopolitik Malaysia era Kerajaan Perpaduan.
Sepanjang menyertai lima PRU DUN Sarawak, PKR memenangi satu kerusi pada PRU Ke-9 (2006), tiga kerusi pada PRU Ke-10 (2011) dan tiga kerusi pada PRU Ke-11 (2016), iaitu Ba’Kelalan, Krian dan Batu Lintang. Pada PRU Ke-8 (2001) dan Ke-12 (2021), mereka tewas kesemua 28 kerusi.
Yang pasti, detik bersejarah pertama tercipta apabila PKR memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menerusi Dominique Ng di Padungan pada 2006. Kemenangan ini menjadi titik tolak keyakinan bahawa parti yang berpangkalan di Semenanjung mampu menembusi kubu kuat bandar di Sarawak.
Prestasi PKR melonjak dengan memenangi tiga kerusi DUN, iaitu Ba’Kelalan (Baru Bian), Krian (Ali Biju), dan Batu Lintang (See Chee How) pada PRU Ke-10.
Mereka mengekalkan prestasi tersebut pada PRU Ke-11 walaupun menghadapi gelombang populariti Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Namun pada PRU Sarawak Ke-12, PKR tewas semua 28 kerusi yang ditandingi, selepas era ‘Langkah Sheraton’ 2020, dan memburukkan keadaan apabila dua tokoh utama tempatan ketika itu, Baru Bian dan Ali Biju meninggalkan parti.
Hakikatnya keputusan PKR untuk tidak bertanding di Sarawak didorong empat faktor strategik dan realiti politik semasa. Pertama, menghormati muafakat Kerajaan Perpaduan, kerana persaingan boleh mencetuskan ketegangan hubungan Kuching-Putrajaya.
Kedua, PKR menilai bahawa mengelak pertembungan dengan GPS akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam merealisasikan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), memacu agenda pembangunan ekonomi, serta menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak tanpa gangguan politik berpanjangan.
Ketiga, selari dengan pendirian rakan-rakan komponen lain, BN dan AMANAH dalam Kerajaan Perpaduan, dan keempat, PKR menyedari sentimen nasionalisme tempatan di Sarawak berada pada tahap tertinggi.
Selepas rekod kekalahan teruk pada PRU Sarawak Ke-12, maka ia boleh berulang.
Oleh itu, mengundur diri adalah pilihan lebih terbaik.
Realitinya, PRU Sarawak Ke-13 dilihat sebagai lembaran baharu dalam sejarah politik Bumi Kenyalang, dalam keadaan kekuatan dan keampuhan GPS yang begitu terserlah, menjulang nama Sarawak hingga ke peringkat Asia, malah antarabangsa.
Dengan pelbagai inisiatif Premier, Abang Johari sejak 2017 hingga kini, Sarawak semakin teguh dengan pelbagai program pembangunan infrastruktur, ekonomi hijau, digital, Kecerdasan Buatan (AI), dan pendidikan tinggi percuma.
Oleh itu, GPS yang telah pun mengumumkan 82 calon semalam, memerlukan mandat baharu daripada rakyat, untuk meneruskan pelbagai agenda yang belum selesai.
Pada PRU kali ini, GPS mempertaruhkan 11 muka baharu yang akan bergandingan dengan 71 penyandang. Antara 11 muka baharu yang diketengahkan ialah Wung Duk Ing bagi kerusi Padungan, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim (Muara Tuang), Yussuf Chik (Simunjan), Awg Nashfarini Awg Sarbini (Beting Maro) dan Leonard Libau Anol (Simanggang), Nor-E-Fadzwie Salleh (Kabong), Alexander Donald (Ngemah), Kevin Lau Kor Jie (Bawang Assan), Cerisologo Sabut (Pelagus), Nurfatin Syafawani Tahamat (Bekenu) dan Datu Jack Liam (Batu Danau).
Manakala pertukaran calon membabitkan beberapa kawasan yang sebelum ini diwakili penyandang berpengalaman, termasuk Bawang Assan yang menyaksikan Datuk Seri Wong Soon Koh memberi laluan selepas tujuh penggal, Simanggang (Datuk Francis Harden Hollis) dan Bekenu (Datuk Rosey Yunus), masing-masing selepas enam dan empat penggal.
Perubahan turut berlaku di Padungan, Muara Tuang, Simunjan, Beting Maro, Kabong, Ngemah, Pelagus dan Batu Danau. Barisan baharu GPS turut menyaksikan peningkatan penyertaan wanita apabila mengetengahkan lima calon wanita, berbanding empat pada PRU sebelumnya.
Mereka ialah Datuk Seri Fatimah Abdullah (Dalat), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga) termasuk dua muka baharu, Nurfatin dan Dayang Nurfizawati.
Sementara itu, pengekalan Johnical Rayong Ngipa di kerusi Engkilili menjadi tumpuan dalam senarai calon GPS, kerana sebelum ini beliau meletak jawatan daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) berkuat kuasa 22 November lalu, untuk kembali kepada parti asalnya, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Gandingan muka baharu dan senior ini dilihat mampu membentuk kekuatan yang lebih jitu, untuk GPS mendominasi PRU Sarawak Ke-13 pada 12 Disember nanti.
Realitinya, GPS memainkan peranan dalam memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Persekutuan menerusi semangat setia kawan, dan kesediaan bekerjasama dengan pihak yang mempunyai perbezaan politik.



