ARTIKEL

Jiwa besar pemimpin berundur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TIMBALAN Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang, 72, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di DUN Muara Tuang merupakan antara nama yang tidak akan mempertahankan kerusinya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember depan.

Beliau mengesahkan keputusan itu dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Menurutnya, beliau berundur pada suatu era yang amat bermakna, ketika Sarawak sedang mencapai kemajuan dan kecemerlangan luar biasa di bawah kepimpinan bijaksana Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang berkhidmat di bawah kepemimpinan beliau, yang telah membawa Sarawak ke tahap pembangunan yang semakin membanggakan.”

Turut mengumumkan pengunduran ialah penyandang DUN Kabong juga daripada GPSPBB, Datuk Mohd Chee Kadir, 73 tahun.

Menurutnya, keputusan ini dibuat setelah melalui pertimbangan yang mendalam, khususnya berkaitan kepentingan kesinambungan kepimpinan dan masa depan kawasan Kabong.

“Saya berpendapat sudah tiba masanya ruang serta peluang diberikan kepada barisan kepimpinan generasi muda untuk tampil meneruskan tanggungjawab, perjuangan dan aspirasi pembangunan yang telah kita usahakan bersama selama ini.”

Terdahulu, penyandang DUN Simunjan daripada GPS-PBB, Awla Dris, 64, mengesahkan pada minggu lalu bahawa beliau telah menemui Abang Johari dan timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan menyatakan tidak bertanding.

Difahamkan, antara nama yang turut tidak bertanding ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus 70, (GPS-PBB), di DUN Bekenu; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, 70, (GPS-SUPP) di DUN Simanggang dan penyandang DUN Beting Maro, Razaili Gapor (GPS-PBB), 70.

Turut mengundur diri ialah ADUN paling tua pada penggal lalu, ADUN Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh, 84, yang pada Isnin mengumumkan keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sama ada regunya, Dr Johnical Rayong Ngipa, 64, di DUN Engkilili turut undur diri setelah keluar PDP tidak diketahui kerana ada maklumat mengatakan beliau telah menyertai SUPP.

Bagaimanapun antara faktor yang menyumbang pengguguran mereka adalah masalah kesihatan dan perlunya wajah baharu dalam kepimpinan kawasan dan parti.

Sementara itu, penyandang dua penggal di DUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang dan ADUN sepenggal di DUN Ngemah, Anyi Jana berhadapan cerita lain.

Mereka merupakan dua bekas ADUN daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang dikhabarkan tidak mendapat “lampu hijau” oleh kepimpinan parti tersebut.

Sumber dalaman parti berkata, kedua-dua mereka akan digantikan dengan muka baharu – Cerislogo Sabut di DUN Pelagus yang sebelum ini merupakan Pegawai Daerah Kanowit dan Alexander Donald di DUN Ngemah, yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi PRS.

Difahamkan, kedua-duanya digugurkan kerana tidak memiliki persefahaman dengan pimpinan parti tersebut yang kini diketuai Datuk Seri John Sikie Tayai.

Sementara itu, penyandang bagi kerusi DUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai dikatakan akan terus mempertahankan kerusinya, hasil kompromi daripada Majlis Tertinggi GPS.

Kudi merupakan anak saudara kepada bekas pengasas PRS dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing – turut diuar-uarkan digugurkan sebelum ini.

Yang pasti, semua yang telah mengumumkan berundur ini berjiwa besar.

Mengutamakan Sarawak dan mengutamakan parti daripada segala-galanya – termasuk kuasa dan harta.

Untuk rekod, pada penggal lalu, 23 peratus daripada wakil rakyat GPS berusia 70 tahun dan ke atas, manakala 22 peratus lagi berusia 65 tahun dan ke atas.

Bermakna jika mereka bertanding pada kali ini, pada hujung penggal akan datang, akan berusia 70 ke 75 tahun – sekali gus menandakan ia adalah penyertaan terakhir mereka.

Dari segi tempoh, ada calon yang telah mencapai 10 penggal, ada yang lapan penggal dan lima wakil rakyat telah berkhidmat selama tujuh penggal sementara tiga lagi, enam penggal dan lima selama lima penggal.

Adakah mereka ini akan kembali mempertahankan kerusi pada kali ini.

Jika mereka benarbenar telah berbakti dan berjuang untuk rakyat di kawasan, usia bukan masalah dan jangka waktu penggal bukan penghalang.

Namun secara jujur, dengan tiada ancaman besar daripada parti politik nasional lain, yang telah merakamkan solidariti, sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk GPS menjayakan rejuvenasi – dengan menukarkan calon-calon berusia kepada calon baharu.

Calon muda yang akan mewarisi visi panjang Abang Johari. Namun realitinya, semua calon sudah pun diputuskan, dan kuasa sudah diberikan kepada Abang Johari untuk melakukan keputusan terbaik.

Sama ada, ada calon yang tertinggal untuk diumumkan kemudian, seperti Royston Valentine di DUN Tellian pada penggal lalu, jam 12.00 tengah hari ini akan menentukan.

GPS akan membuat pengumuman rasmi caloncalonnya di ibu pejabat PBB hari ini (Rabu). Siapa caloncalon baharu itu?

Adakah ia membenarkan spekulasi yang sedang bertiup kencang ketika ini – dengan calon-calon muda akan menjadi taruhan?

Selain menjadi debar kepada parti-parti lawan yang telah mengumumkan calon masing-masing, ia juga menjadi debar kepada komponen GPS sendiri.

Adakah ada lagi pelanggaran di kawasan seperti DUN Dudong diserahkan kepada PDP daripada SUPP?

Atau semua kerusi tradisi ini dikembalikan dalam usaha mereset apa yang telah berlaku sebelum ini.

Pertanyaan paling menarik, adakah PDP yang hilang dua kerusi akan kembali bertanding di enam kerusi sahaja? Atau merebut dua kerusi tersebut yang secara tradisinya menjadi SUPP.

Tumpuan kini beralih ke pesta demokrasi terbesar di Sarawak.

Juga kepada SUPP dan PDP – dua parti komponen yang sentiasa bersindir-sindir selama ini, biarpun dua pemimpinnya selalu duduk sebelah- menyebelah dalam majlis parti dan kerajaan.

Ia sesuatu yang menarik untuk diperhati – kerana semuanya boleh diselesaikan jika meletakkan slogan GPS – Utamakan Sarawak di hadapan.

Untuk rekod, Pilihan raya Sarawak akan diadakan pada 12 Disember depan, dengan proses penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Pada PRU Sarawak 2021, GPS menang 76 daripada 82 kerusi, sebelum tiga wakil rakyat daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai Parti Tindakan Demokratik (PDP), manakala seorang lagi menjadi calon Bebas mesra GPS.

BERITA LAIN

Jasa Jambatan Batang Paloh

DALAM minggu lepas, empat kali saya ulang-alik dari Kuching ke Sarikei dan Matu, kemudian ke Sibu, balik semula ke Sibu, Tanjung Manis dan Matu menggunakan

Kesan PAS tidak bertanding

KALAU kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Peribahasa itu sesuai untuk membaca keputusan PAS tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan

BERITA TERBARU