SARIKEI: Penguasaan ilmu taranum, tajwid dan seni suara perlu terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti yang mampu mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata Majlis Tilawah al-Quran menjadi platform penting untuk meningkatkan mutu bacaan, penghayatan dan kecintaan terhadap al-Quran.
Beliau berkata penguasaan taranum dan tajwid mampu memperindahkan bacaan serta membantu menyampaikan maksud ayat al-Quran dengan lebih berkesan. Keindahan bacaan juga dapat menarik minat golongan muda mendekati al-Quran.
Len Talif turut menggesa peserta terus memperbaiki mutu bacaan, menguasai taranum, tajwid dan kawalan suara bagi melayakkan diri ke peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
Beliau turut menyeru qari dan qariah berpengalaman membimbing generasi pelapis di masjid, surau dan komuniti. Menurutnya, usaha berterusan itu penting bagi melahirkan lebih ramai qari dan qariah berkualiti pada masa depan seperti dilapor TVS.


