ARTIKEL

Gambar hiasan

Lesenkan perkhidmatan media sosial langkah tepat atasi jenayah siber

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Cadangan melesenkan perkhidmatan media sosial adalah langkah bertepatan bagi mengatasi pelbagai permasalahan dalam Internet, termasuk pemangsaan digital terhadap kanak-kanak.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, menyatakan bahawa pelaksanaan operasi bersepadu Op Pedo oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mendedahkan realiti yang membimbangkan dalam masyarakat.

“Internet yang dahulunya diraikan sebagai ruang ilmu tanpa batas kini telah menjadi medan gelap bagi mereka yang berniat mengeksploitasi kanak-kanak. Daripada pemangsa yang berlindung di sebalik profil tanpa nama kepada kandungan berbahaya yang dikaburi sebagai hiburan, kanak-kanak kini terdedah kepada ancaman yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.

“Platform media sosial, komuniti permainan, dan aplikasi pendidikan telah menjadi pintu masuk kepada pembulian siber, pengantunan, dan pendedahan kepada bahan yang mengganggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syerleena menegaskan bahawa kekurangan akauntabiliti dalam ruang digital membenarkan ‘kengerian’ itu berkembang tanpa kawalan, mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perlindungan serta keselamatan kanak-kanak melalui peraturan yang jelas.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan untuk melaksanakan peraturan ketat yang mewajibkan syarikat media sosial memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna dan mencegah penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

“Kita mesti menuntut pembaharuan segera dan menyeluruh untuk memastikan platform-platform ini bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka hoskan.

“Kita menggesa semua rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dalam talian yang melibatkan CSAM kepada pihak berkuasa. Melindungi kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab kolektif, tetapi juga keperluan moral yang memerlukan tindakan segera dan tegas,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dilaporkan berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk mengguna pakai kerangka kawal selia atau pelesenan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet berkuat kuasa 1 Jan depan.

Pada 27 Julai lepas, MCMC mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Jan 2025.

Kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa akan menjadi satu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke