BETONG: Kempen Liga Betong 2026 menutup tirainya pada 2 Ogos depan.
Dua pasukan handalan, Makarion FC dan Hermanos FC akan turun membuat perhitungan di pentas final, sekali gus menentu siapakah yang akan dinobat selaku juara musim ini.
Agak sukar meramal pasukan manakah yang mempunyai peluang lebih cerah untuk merangkul gelaran berprestij tersebut.
Ia mengambil kira keupayaan kedua-dua pasukan terbabit yang mara ke perlawanan akhir selepas mengatasi lawan di peringkat separuh akhir hujung minggu lalu.
Makarion FC memastikan tiket ke final selepas menumpaskan Pusa District FC dengan jaringan (5-1).
Manakala, Hermanos FC pula menyingkirkan Crossover FC dengan kemenangan bergaya (6-1).
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Azmi Abdullah mengakui, aksi sengit dan menarik bakal diperaga pemain kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir kelak.
Menurut Azmi, kekuatan kedua-dua pasukan dilihat seimbang di segenap posisi apatah lagi dengan adanya pemain handalan yang dimiliki.
“Kita melihat peluang untuk menang seimbang, segalanya terpulang kepada pengemudi kedua-dua pasukan dalam merangka strategi,” ujar Azmi.



