SERIAN: Pengurus pasukan Serian, Mohamad Azlan Sebi mengakui kelebihan tiga gol hasil kemenangan 3-0 ke atas Kapit dalam aksi suku akhir pertama di Kompleks Sukan Kapit semalam masih belum menjamin laluan selesa ke peringkat separuh akhir.
Tegas Azlan, barisan pemainnya perlu mengharungi baki 90 minit perlawanan timbal balik yang dijadualkan berlangsung di laman sendiri pada 17 Januari depan.
“Syukur kita berjaya meraih kemenangan dengan jaringan 3-0 ke atas Kapit semalam.
Bagaimanapun, ia belum menjamin kami untuk mara ke separuh akhir.
Sebaliknya, masih ada 90 minit pertembungan kedua di laman sendiri nanti,” ujar Azlan kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya aksi timbal balik itu bakal menyajikan cabaran berbeza memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri.
Serian tekad mempertahankan kelebihan jaringan tersebut, manakala Kapit dijangka bangkit bagi memburu kemenangan sekali gus memadamkan defisit gol sedia ada.
Tambah Azlan, pihaknya tidak rela berputih mata dan mahu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri selain mempertahankan momentum kemenangan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh para pemain sepanjang perlawanan semalam.
Menurutnya, pemain berjaya menterjemahkan strategi yang diterapkan oleh ketua jurulatih, Edward Jamid Unting dengan berkesan sepanjang tempoh permainan.
“Memang kita akui pemain menerima tekanan daripada pasukan tuan rumah sepanjang perlawanan.
Akan tetapi, mereka berjaya mengatasi situasi tersebut dengan baik,” katanya.
Tiga gol kemenangan pasukan Serian semalam dihasilkan melalui sentuhan Mohd. Zainudin Bohri, Williy Meling Ak Rabbit dan Zaifudin Seroji.



