KUCHING: Peringkat suku akhir Liga Premier Sarawak 2025 akan berlangsung Sabtu ini (10 Januari) dengan menyaksikan pertembungan menarik lapan pasukan.
Perlawanan tersebut akan menampilkan empat pasukan terbaik Zon Utara dan empat wakil Zon Selatan.

Aksi suku akhir pertama pada Sabtu ini ialah PDRM menentang Bintulu di Stadium Sarawak (3.30 petang) diikuti Kuching menentang Limbang di Stadium Negeri (8.15 malam). Pada waktu sama, Kapit akan menentang Serian di Kompleks Sukan Kapit (3.30 petang) manakala Samarahan akan menentang Miri di Stadium Terbuka Kota Samarahan (3.30 petang).
Pengerusi Kejohanan, Haji Sophie Shariee mengakui perlawanan sengit dijangka berlaku membabitkan kesemua lapan pasukan pada hari itu.
“Kita percaya berlaku pertembungan sengit untuk aksi suku akhir pertama Sabtu ini kerana kesemua pasukan turun dengan satu misi untuk memburu kemenangan,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.
Sophie yakin kesemua lapan pasukan telah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi perlawanan yang dijangka menampilkan aksi luar biasa.
Perlawanan suku akhir kedua pula akan berlangsung pada 17 Januari.
Dalam pada itu, beliau menegaskan perlawanan peringkat separuh akhir juga akan berlangsung dengan format yang sama iaitu secara timbal balik.
“Perlawanan peringkat separuh akhir pertama dijadualkan berlangsung pada 24 Januari disusuli aksi separuh akhir kedua seminggu selepas itu (31 Januari),” tambah Sophie.
Beliau memberitahu tarikh untuk aksi final masih belum dimuktamadkan namun mempunyai dua pilihan sama ada 7 atau 14 Februari 2026.



