ARTIKEL

Abdul Karim ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

Lima Pelajar Henry Gurney Ke Tentera, PEMADAM Lahirkan Wira Negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kejayaan lima pelajar Sekolah Henry Gurney dan sekolah arus perdana menyertai Angkatan Tentera, serta dua lagi ke Tentera Laut Diraja Malaysia membuktikan pendekatan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dalam membimbing mereka ke laluan lebih bermakna.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program berterusan yang dijalankan oleh PEMADAM terus menunjukkan impak positif dan jelas dalam menyokong pembangunan serta pemulihan belia.

“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pendekatan PEMADAM dalam membantu belia berisiko untuk membina masa depan yang lebih berdisiplin dan berhaluan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain penyertaan dalam perkhidmatan beruniform, ramai peserta program turut melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia.

“Sebahagian yang lain memperoleh pekerjaan stabil sebagai pekerja mahir khususnya di Tanjung Manis dan sektor perhotelan.

“Kejayaan ini menyerlahkan peranan PEMADAM dalam memperluas peluang kerjaya dan pendidikan bagi golongan belia,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa pada tahun ini Sarawak memperkukuh pembangunan belia dan kerjasama serantau melalui pelbagai inisiatif seperti menjadi tuan rumah sebahagian daripada Program Sukarelawan Belia ASEAN 2025 dari 12 hingga 19 Julai.

“Program ini melibatkan penyertaan 25 belia ASEAN dan 15 belia Sarawak dalam projek komuniti serta pertukaran budaya,” jelasnya.

Selain itu katanya, Program Integrasi Belia Sarawak–Johor–Sabah–Melaka dari 11 hingga 15 Ogos yang berlangsung di Sabah turut memupuk keharmonian sosial melalui aktiviti imersif budaya dan aktiviti kemasyarakatan bersama 15 delegasi dari Sarawak.

Mengulas lanjut ujarnya, Sarawak juga menyertai Program Bas Belia Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) 2025 dari 27 hingga 30 November, yang dianjurkan oleh Negara Brunei Darussalam dengan penyertaan 21 belia termasuk tiga dari Sarawak.

“Delegasi mengikuti lawatan institusi, sesi kepimpinan dan aktiviti sukan yang akhirnya menghasilkan Resolusi Belia bagi memperkukuh keterhubungan serantau dan pembangunan mampan,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bersama SABERKAS, AZAM Sarawak serta pertubuhan belia lain turut menggerakkan pelbagai inisiatif.

“Usaha ini memperkukuh kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pelibatan komuniti sekali gus melahirkan pemimpin belia yang yakin dan profesional di seluruh negeri,” jelasnya.

Katanya, rakan persekutuan iaitu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (JBS) pula menganjurkan program Semarak Hari Belia di semua bahagian termasuk lima aktiviti peringkat bahagian.

“Sambutan Hari Belia Negara pada 16 hingga 17 Mei 2025 di Pusat Persidangan Serian menampilkan lima belas aktiviti,” ujarnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha