ARTIKEL

Abdul Rahman ketika berucap (UKAS)

Limbang-Lawas Bakal Jadi Hab Agromakanan Utama Sarawak Menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LIMBANG: Bahagian Limbang dan Lawas berpotensi besar menjadi hab pengeluaran utama, khususnya dalam bidang ternakan ikan dan penanaman padi, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor agromakanan menjelang 2030.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sebanyak 6,000 hektar tanah telah dikenal pasti di kawasan Limbang-Lawas bagi tujuan tersebut.

“Kawasan yang telah dikenal pasti adalah di Pandam, Limbang dan satu lagi di Sundar, Lawas.

“Jabatan Pertanian akan meneruskan usaha mengenal pasti tanah kerajaan dan tanah NCR yang berpotensi untuk mencapai sasaran 10,000 hektar kawasan penanaman padi dengan matlamat menjadikan Limbang sebagai jelapang padi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) di Lapangan Rekreasi Limbang hari ini, yang disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abdul Rahman, kerajaan negeri turut memperkukuh industri berasaskan pertanian melalui pembinaan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Limbang dan Lawas.

“Turut dibina ialah kilang pemprosesan keju mozzarella di Maragang yang menggunakan susu kerbau tempatan.

“Projek ini dijangka mula beroperasi pada hujung tahun 2025 atau awal 2026 sekali gus membuka peluang pasaran baharu kepada produk tenusu dan pertanian tempatan,” ujarnya.

Selain sektor pertanian, beliau berkata, pelancongan rentas sempadan terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bagi Limbang.

“Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 1.4 juta pergerakan keluar masuk direkodkan melalui Limbang dan angka itu telah melebihi satu juta orang sehingga September tahun ini,” jelasnya.

Bagi memperkukuh lagi potensi pelancongan, katanya, kerajaan merancang membina kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baharu di Pandam, yang akan menghubungkan Limbang dengan Lumapas di Brunei Darussalam.

“Apabila siap kelak, masa perjalanan antara Bandar Seri Begawan dan Limbang akan berkurang kepada hanya 20 hingga 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini,” katanya.

Abdul Rahman menambah, beberapa projek infrastruktur utama turut dilaksanakan bagi memperkukuh rangkaian penghubung di utara Sarawak, termasuk Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 1 dan 2 serta Lebuhraya Trans Borneo (TBH) yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kesemua projek berimpak tinggi ini dijangka siap menjelang 2030 dan akan mengubah wajah sosioekonomi utara negeri,” katanya.

Menurutnya, pelancaran projek Coastal Northern Highway (NCH) yang bernilai RM6.8 bilion dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menandakan satu detik bersejarah bagi Limbang dan Lawas.

“Projek ini bukan sekadar membina jalan tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan menyeluruh dari segi infrastruktur, ekonomi dan pelancongan di rantau utara Sarawak,” jelasnya.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil