SIMUNJAN: Journey of Service 4.0 tahun ini menghimpunkan peserta dan delegasi dari Jepun, Indonesia, Filipina, Singapura, China serta Malaysia, selaras dengan misi Lions memupuk perpaduan rentas sempadan dan semangat khidmat untuk kemanusiaan.
Antara pengisian utama program ialah aktiviti penanaman pokok dengan kerjasama Jabatan Hutan Sarawak (JHS), sebagai simbol pertumbuhan, kelestarian dan komitmen Lions terhadap pemeliharaan alam sekitar.
JHS dalam kenyataan hari ini berkata, lebih 100 delegasi dari lima negara menanam 502 pokok bernilai tinggi seperti belian dan meranti sebagai legasi khidmat dan dedikasi mereka kepada masyarakat.
Menurut Bekas Pengarah Antarabangsa (PID) Lions Clubs International, Datin Ellis Suryati, Journey of Service 4.0 bukan sekadar memberi kembali kepada masyarakat, tetapi juga memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli Lions di rantau ini.
“Melalui kerjasama, kita memperkukuh nilai khidmat, persahabatan dan kasih sayang yang menjadi asas kepada gerakan Lions,” katanya.
Selain aktiviti khidmat masyarakat, program ini turut menampilkan sesi pertukaran budaya dan jaringan persahabatan yang meraikan kepelbagaian budaya Asia serta mempererat hubungan muhibah antara peserta antarabangsa.
Program itu turut dihadiri wakil Jabatan Hutan Sarawak, Rohanie Bohan, yang menyampaikan penghargaan atas sumbangan Lions terhadap usaha penghijauan negeri.
Jawatankuasa penganjur turut merakamkan penghargaan kepada jabatan tersebut atas sokongan dan kerjasama menjayakan inisiatif berkenaan.





