ARTIKEL

Liputan air 100 peratus: 231/606 projek telah siap di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Dalam memastikan bekalan air di Sarawak mencapai tahap liputan 100 peratus menjelang 2025, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti (MOU) telah membuat perancangan terperinci selain menyediakan peruntukan besar untuk menjayakan pelaksanaannya.

Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata kementerian itu telah memperuntukkan RM8.28 bilion untuk melaksanakan 606 projek pembangunan bekalan air di seluruh negeri ini untuk tempoh 2017 hingga 2021.

Katanya pelaksanaan pembangunan projek-projek itu menggunakan dua strategi iaitu Sistem Grid Bekalan Air dan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).

“Ketika ini, 231 projek telah siap, 227 lagi masih dalam pelaksanaan dan 148 projek lagi dalam fasa perancangan. Projek bekalan air dirancang dengan teliti serta memakan belanja yang sangat besar selain bagi memastikan visi MOU untuk mencapai 100 peratus liputan bekalan air dapat dilaksanakan menjelang 2025,” katanya kepada Bernama.

Katanya liputan semasa bekalan air terawat di seluruh Sarawak adalah sebanyak 83.4 peratus yang meliputi 99 peratus kawasan bandar manakala 66.5 peratus kawasan luar bandar.

Dr Rundi berkata ketika ini pelan utama Sistem Grid Bekalan Air telah dibuat mengikut zon dengan Zon Selatan di bawah seliaan Lembaga Air Kuching (KWB), Zon Tengah di bawah Lembaga Air Sibu dan Zon Utara di bawah Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).

“Kita merancang untuk menggabungkan semua agensi itu menjadi satu entiti…bererti semua agensi bekalan air di Sarawak akan diselaraskan di bawah satu kuasa iaitu Pihak Berkuasa Air Sarawak (Sarawak Water Authority), sekali gus akan memberikan impak perancangan yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata perkara yang paling penting dalam perancangan grid ini melibatkan empat komponen utama, bermula daripada sumber air, loji rawatan, cara penghantaran dan prospek pengguna itu sendiri.

“Di Zon Selatan, contohnya, kita mempunyai sumber air dari Empangan Bengoh yang boleh mengeluarkan sebanyak dua juta liter sehari yang dirawat di Loji Batu Kitang dan seterusnya disalurkan menggunakan tangki air aras tinggi dan pam air sehingga ke Sebuyau (kira-kira 110 kilometer dari Kuching),” katanya.

Sementara itu, SAWAS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak, melalui Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk menyediakan bekalan air kepada penempatan terpencil dan kawasan pedalaman yang masih belum mempunyai air terawat yang selamat dan bersih.

SAWAS menggunakan teknologi osmosis berbalik yang digunakan untuk merawat air dari sungai berhampiran bagi membekalkan air terawat yang bersih kepada penduduk sekitar.

Dr Rundi berkata memandangkan pembangunan bekalan air menerusi sistem grid mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, program SAWAS dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan asas dari segi air terawat yang sesuai untuk operasi dan penyelenggaraan oleh masyarakat di kawasan terpencil.

Sehingga kini kerajaan negeri telah membekalkan sejumlah 56,044 unit tangki air yang bernilai lebih RM76 juta.

“Bagi kawasan Sebauh di Bintulu sahaja, sebanyak 10 rumah panjang (Rh) melibatkan 339 pintu (unit kediaman) telah mendapat bekalan air melalui SAWAS. Antaranya Rh. Banta, Rh. Unchau, Rh. Alip Long Unan, Rh. Irai Anak Gaseng, Rh. Enteri Anak Andeng dan Rh. Ampie Anak Egang dengan nilai kos kira-kira RM42 juta,” katanya.

— BERNAMA

BERITA LAIN

Boleh kritik kerajaan tetapi ada had dalam isu 3R

KUALA LUMPUR: Walaupun kritikan terhadap kerajaan dibenarkan di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku terdapat had kepada kebebasan media, terutamanya berkaitan perkara sensitif

Keterangkuman sosial POSKOM selari dengan PCDS 2030

SIBU: Program Outreach – Santuni Komuniti (POSKOM) yang diperkenalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) adalah selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030. Ahli

BERITA TERBARU

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

65 murid keracunan lepas makan kuettiau sup

SUNGAI PETANI: Seramai 65 murid Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya dekat sini dipercayai mengalami keracunan makanan selepas makan di kantin sekolah pagi semalam. Yang Dipertua

Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran rumah flat

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah unit rumah flat di tingkat empat, Blok C, Apartment Lestari, Damansara Damai, Selangor kira-kira