UNITED KINGDOM: Manchester United mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas menewaskan musuh tradisi, Liverpool, 3-2 dalam aksi dramatik Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi Isnin.
Gol kemenangan lewat permainan daripada Kobbie Mainoo memastikan skuad kendalian Michael Carrick meraih tiga mata berharga selepas Liverpool bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat kedudukan.
United bermula garang apabila mendahului 2-0 dalam tempoh 15 minit pertama perlawanan.
Jaringan pembukaan hadir menerusi rembatan Matheus Cunha yang terkena pertahanan sebelum menewaskan penjaga gol ketiga Liverpool, Freddie Woodman.
Tidak lama kemudian, Benjamin Sesko menambah jaringan kedua hasil penyudah jarak dekat ketika Liverpool tampak bergelut mencari rentak permainan.
Skuad kendalian Arne Slot yang turun tanpa beberapa tonggak utama termasuk Mohamed Salah, Hugo Ekitike dan Alexander Isak akibat kecederaan hampir dihukum lebih teruk sebelum rehat separuh masa pertama.
Bagaimanapun, kesilapan pemain United membuka ruang kebangkitan buat pelawat pada babak kedua.
Dominik Szoboszlai merapatkan jurang jaringan selepas memanfaatkan hantaran tersasar Amad Diallo sebelum pemain Hungary itu sekali lagi memainkan peranan penting dengan mencipta bantuan gol kepada Cody Gakpo untuk gol penyamaan Liverpool.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir seri, Mainoo muncul wira United apabila tenang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-77 untuk menghadiahkan kemenangan penting buat tuan rumah.
Kemenangan itu bukan sahaja menamatkan penantian dua musim United untuk kembali ke pentas Liga Juara-Juara, malah mengukuhkan kedudukan Michael Carrick untuk terus membimbing pasukan musim depan.
Carrick mengakui beliau selesa menggalas tanggungjawab sebagai pengendali United dan menikmati peranan tersebut.
Sementara itu, kekalahan berkenaan menyaksikan Liverpool kini hanya enam mata di belakang United dan masih perlu bekerja keras dalam baki tiga perlawanan terakhir bagi memastikan kedudukan lima terbaik liga.-TVS



