KARIWA: Loji kuasa nuklear terbesar di dunia dijadualkan beroperasi semula pada Rabu buat pertama kali sejak bencana Fukushima pada 2011, menurut pengendalinya dari Jepun, meskipun kebimbangan keselamatan masih berterusan dalam kalangan penduduk setempat.
Gabenor wilayah Niigata meluluskan penyambungan semula operasi loji KashiwazakiKariwa bulan lalu, meskipun orang ramai masih keliru mengenai keputusan tersebut.
Selepas menerima kelulusan terakhir pada Rabu, Tokyo Electric Power (TEPCO) memaklumkan bahawa pihaknya sedang membuat persiapan akhir dan merancang untuk memulakan operasi reaktor selepas jam 7 malam.
Pada Selasa, beberapa penunjuk perasaan – kebanyakannya warga emas berhimpun berhampiran pintu masuk loji itu, yang terletak di sepanjang pantai Laut Jepun.
“Elektrik yang dihasilkan di Kashiwazaki digunakan di Tokyo, jadi mengapa penduduk di sini perlu menanggung risikonya? Itu langsung tidak masuk akal,” kata penduduk tempatan berusia 73 tahun, Yumiko Abe, kepada AFP.
Menurut satu tinjauan yang dijalankan pada September lalu, kira-kira 60 peratus penduduk menentang penyambungan semula loji itu, manakala 37 peratus menyokongnya.
Kashiwazaki-Kariwa merupakan loji kuasa nuklear terbesar di dunia dari segi kapasiti.
Bagaimanapun, hanya satu daripada tujuh reaktor di fasiliti itu akan dihidupkan semula pada Rabu.
Fasiliti itu dihentikan apabila Jepun menghentikan penggunaan kuasa nuklear selepas gempa bumi dan tsunami yang dahsyat melanda negara itu, sekali gus menyebabkan tiga reaktor di loji atom Fukushima musnah pada 2011.
Jepun, yang tidak mempunyai banyak sumber asli, kini berusaha menghidupkan semula penggunaan tenaga nuklear bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, mencapai sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050, serta menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat, termasuk yang berpunca daripada perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri Sanae Takaichi menyuarakan sokongan untuk sumber tenaga tersebut. Selepas penutupan loji nuklear susulan bencana Fukushima, Jepun menghidupkan semula 14 reaktor nuklear, kebanyakannya di kawasan barat dan selatan negara itu, dengan mematuhi peraturan keselamatan yang lebih ketat. Sehingga pertengahan Januari, 13 reaktor masih beroperasi.
Selepas lebih sedekad, TEPCO bersedia mengendalikan semula unit Kashiwazaki-Kariwa, operasi pertamanya sejak tragedi Fukushima 2011.
Hampir 15 tahun selepas bencana itu, “keadaan masih belum terkawal di Fukushima dan TEPCO mahu menghidupkan semula sebuah loji?
Bagi saya, itu sama sekali tidak boleh diterima,” kata Keisuke Abe, seorang penunjuk perasaan berusia 81 tahun.
Kompleks KashiwazakiKariwa yang luas itu dilengkapi dengan tembok tsunami setinggi 15 meter, sistem bekalan kuasa kecemasan yang dinaik taraf serta pelbagai penambahbaikan keselamatan lain.
Penduduk tempatan terus menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kemalangan serius, dengan merujuk kepada beberapa skandal penyembunyian, insiden kecil sebelum ini serta pelan pemindahan yang disifatkan tidak mencukupi.
Jepun merupakan pengeluar karbon dioksida kelima terbesar di dunia selepas China, Amerika Syarikat, India dan Rusia. Pada 2023, hampir 70 peratus bekalan elektrik negara itu dijana menggunakan arang batu, gas dan minyak, satu kadar yang ingin dikurangkan kepada 30 hingga 40 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang.



