ARTIKEL

Julaihi membuka paip yang mengalirkan air terawat menerusi teknologi Acute System di Loji Rawatan Air Sebangan di sini. | Foto MOHD ALIF NONI

Loji rawatan air Acute System Sebangan siap, bekalan lima juta liter sehari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEBUYAU: Loji rawatan air menggunakan teknologi Acute System di Ulu Sebangan di sini, siap sepenuhnya pada 24 Julai lalu dengan kapasiti lima juta liter sehari.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, projek bernilai RM12 juta itu dilaksanakan bagi menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta menampung peningkatan permintaan di Sebangan dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, projek yang dimulakan pada November 2025 itu turut melibatkan pemasangan saluran paip baharu sepanjang 11 kilometer yang disambungkan ke paip agihan sedia ada.

“Loji rawatan air baharu ini mempunyai kapasiti lima juta liter sehari dan bekalan air terawat akan disalurkan ke tangki air aras tinggi Sebangan sedia ada yang berkapasiti 2.5 juta liter,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Acute System Sebangan di tapak loji berkenaan di sini, hari ini.

Julaihi berkata, projek itu memberi manfaat kepada 1,254 rumah penduduk di Sebangan dan kawasan sekitarnya, sekali gus membantu memastikan bekalan air lebih stabil.

“Sebangan mempunyai sumber air mentah sendiri dan kita masih boleh menggunakan air dari Sungai Sebangan untuk diproses menjadi air terawat.

“Jadi, kesesuaian teknologi amat penting bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, penggunaan sumber air mentah tempatan juga penting bagi mengurangkan kebergantungan kawasan Samarahan dengan bekalan dari Loji Rawatan Air Batu Kitang, Kuching.

Julaihi berkata, sebahagian kawasan Samarahan termasuk Sebuyau, Asajaya, Sadong Jaya dan Muara Tuang kini menerima bekalan air dari Batu Kitang melalui sistem grid.

“Apabila tekanan air rendah, walaupun kita dibekalkan 50 juta liter air sehari, bekalan itu mengambil masa untuk sampai ke Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Sebangan.

“Keadaan ini menjadikan pengukuhan sumber air alternatif penting, terutama apabila berlaku gangguan pada sistem paip utama atau tekanan air rendah yang boleh menjejaskan penghantaran bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Batu Kitang sedang dinaik taraf daripada 868 juta kepada 968 juta liter sehari.

“Peningkatan kapasiti itu penting bagi memastikan bekalan air mencukupi, khususnya bagi kawasan Kuching dan Samarahan yang terus berkembang dari segi penduduk serta pembangunan,” katanya.

Menurut Julaihi, Batu Kitang kekal sebagai sumber utama bekalan air bagi Samarahan, termasuk Asajaya, Sadong Jaya, Muara Tuang, Sebuyau, Sebangan dan sebahagian Simunjan.

BERITA LAIN

Maklumat dasar kerajaan perlu sampai ke akar umbi

BINTULU: Penyampaian maklumat mengenai dasar, inisiatif pembangunan dan bantuan kerajaan perlu diperluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat mengetahui serta dapat memanfaatkan kemudahan

BERITA TERBARU