KUCHING: Aktiviti perlombongan mata wang kripto menggunakan bekalan elektrik curi terbongkar di sebuah rumah sewa dua tingkat di Jalan Besi Pujut, Miri. Kejadian itu mendedahkan kerugian dianggarkan RM3,100 sebulan kepada Sarawak Energy.
Menurut Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam satu kenyataan hari ini, sambungan kabel secara haram dan tujuh alat perlombongan kripto yang tidak aktif telah ditemui dalam premis berkenaan.
“Semua peralatan itu telah disita dengan kehadiran pemberi maklumat sebagai saksi menerusi risikan orang awam dan juga pasukan pemeriksa dari Bahagian Pengurusan Hasil syarikat pemegang lesen Sesco,” ujar kenyataan itu.
Laporan polis telah dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik.
“Ini akan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun jika disabit kesalahan.
“Kecurian elektrik untuk tujuan perlombongan mata wang kripto semakin membimbangkan kerana pelaku cuba memotong kos operasi ketika harga mata wang kripto melonjak,” jelasnya.
Tegas Sarawak Energy, sambungan elektrik tidak sah yang mengabaikan ciri keselamatan penting mendedahkan pelaku kepada risiko renjatan maut, kebakaran serta kerosakan harta benda berdekatan.
“Oleh itu, orang ramai digesa berwaspada terhadap tanda mencurigakan seperti penggunaan elektrik luar biasa tinggi, meter diusik atau bilik dengan sistem penyejukan yang beroperasi berterusan.
“Selain itu, pemilik hartanah diingatkan agar mengemas kini nama akaun elektrik apabila menyewakan premis dan mengambil tahu aktiviti penyewa bagi mengelakkan masalah undang-undang,” ujarnya.
Maklumat berhubung kecurian elektrik boleh disalurkan ke Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel customercare@sarawakenergy.com. Semua laporan dijamin dirahsiakan.


