Longgarkan syarat pengeluaran i-Sinar

SELEPAS kenyataan rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2 Disember lalu tentang kelayakan dan syarat pengeluaran i-Sinar, ramai pencarum mula menepuk dahi.

Rata-rata menyifatkan pelaksanaannya tidak semudah yang dicanang sebelum ini.

Ibarat indah khabar daripada rupa.

Difahamkan permohonan pengeluaran i-Sinar bermula 21 Disember ini, gagal memenuhi keperluan rakyat.

Memetik kenyataan tersebut, di bawah kategori pertama mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah dan mereka yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kedua, ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac lalu.

Realitinya, ramai yang tidak menyenangi ketetapan tersebut. Penulis sempat bertanyakan orang awam tentang reaksi mereka terhadap perkara itu.

Selain memantau maklum balas melalui pelbagai saluran media sosial.

Betul, ramai kurang senang dengan apa yang diputuskan oleh KWSP.

Malah tidak semudah seperti yang disebut oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tempoh hari semasa penggulungan Belanjawan 2021.

Tetapi selepas kenyataan rasmi KWSP pada 2 Disember lalu, pengguna alam maya mempersoalkan adakah i-Sinar sudah menjadi i-Gelap?

Ekoran syarat yang dianggap menyusahkan.

Rakyat benar-benar beremosi dengan syarat dan kelayakan pengeluaran i-Sinar.

Kata mereka, hendak mengeluarkan simpanan sendiri pun harus melalui syarat ketat. Bagi penulis, bukan hendak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi sebenarnya ramai juga yang terjejas, namun tidak termasuk dalam kategori di atas.

Maknanya, mereka yang terjejas tidak secara langsung tetapi amat terkesan dengan pandemik Covid-19.

Perkara ini harus diselidiki oleh kerajaan secara mendalam.

Bukan hanya menilai sesebuah keluarga yang terjejas itu daripada slip gaji atau dokumen pengurangan pendapatan (gaji/elaun) atau notis cuti tanpa gaji…tidak menyeluruh.

Justeru, kerajaan perlu lebih mendalami kesusahan rakyat melebihi daripada sekadar merujuk dokumen pendapatan.

Kelonggaran syarat dan kelayakan pengeluaran i-Sinar diharap akan dikaji semula. Pengeluaran i-Sinar mungkin wajar dilonggarkan seperti i-Lestari.

Pastinya tanpa kesengsaraan akibat pandemik Covid-19, pencarum tidak akan bising untuk mengeluarkan simpanan masingmasing kerana ia sememangnya dikhaskan untuk hari tua. Penulis yakin, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat mengambil berat tentang kesengsaraan, kesulitan dan kesusahan rakyat. Kalau kita tidak menghadapi betapa peritnya ‘sukar’ pada waktu ini, selamilah rasa yang menghimpit ribuan, malah jutaan orang lain yang sangat memerlukan.

Bagaimanapun penulis optimis seperti yang disebut oleh Penganalisis Ekonomi Dr Zulkiply Omar yang dipetik akhbar nasional, pengeluaran KWSP turut mempunyai kos dalam bentuk kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi untuk jangka panjang.

Ini terutamanya melalui saluran pelaburan. Jumlah pengeluaran KWSP di bawah pakej i-Lestari menjangkau RM40 bilion itu juga bermakna potensi pelaburan sejumlah sama sudah terlepas.

Sedangkan, tanpa pengeluaran itu, jumlah berkenaan berupaya untuk meningkatkan pengumpulan modal dalam ekonomi.

Namun, sebagai kerajaan yang prihatin mereka harus memikirkan juga tentang rakyat yang sangat memerlukan duit tersebut, untuk kelangsungan hidup bagaimana.

Ingat, taraf hidup rakyat marhaen sangat berbeza antara satu sama lain.

Ramai yang melahirkan kelegaan apabila Muhyiddin mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman Akaun Dua KWSP pada Mac lalu berkuat kuasa 1 April bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.

Ia disifatkan sebahagian inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif.

Menerusi pengeluaran i-Lestari, setiap pencarum di bawah usia 55 tahun boleh mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan. Sementara di bawah i-Sinar yang dicadangkan, ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun Satu boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan dengan bayaran pertama maksimum RM5,000.

Sementara mereka yang mempunyai baki lebih RM100,000 dalam Akaun Satu boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (lebih rendah).

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan dengan bayaran pertama maksimum RM10,000

Justeru, para pencarum yang memilih untuk mengeluarkan i-Sinar kelak diharap dapat memanfaatkan wang tersebut dengan sebaiknya.

Suara Sarawak