KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak akan bekerjasama dengan semua pengendali e-hailing untuk mendapatkan rekod perjalanan bulanan sah bagi setiap pemandu berkaitan.
Pengerusi LPKP Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, usaha ini bagi membolehkan LPKP Sarawak memperoleh data tepat secara menyeluruh setiap bulan. Ini sekali gus memudahkan pemberian kuota tambahan Budi95 yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan.
“Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan tepat LPKP Sarawak akan bekerjasama rapat dengan semua pengendali e-hailing untuk mendapatkan rekod perjalanan bulanan yang disahkan bagi setiap pemandu mereka.
“Ini akan membolehkan LPKP Sarawak mengumpul data yang tepat dan menyeluruh setiap bulan. Seterusnya membolehkan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kuota tambahan yang bersesuaian mengikut keperluan pemandu” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan satu skim baharu di bawah Budi95 bagi pemandu e-hailing berdasarkan jarak perjalanan bulanan.
Ia merangkumi kurang daripada 2,000 kilometer (km) tidak mempunyai kuota tambahan. Bagi 2,000 hingga 5,000km akan mendapat tambahan 300 liter. Manakala lebih daripada 5,000km akan mendapat tambahan 500 liter.
Menurut Michael, penetapan semula ambang jarak perjalanan ini dibuat berdasarkan analisis data dan tinjauan Kementerian Kewangan menerusi maklumat daripada pengendali e-hailing sejak September tahun 2025.
Keputusan menurunkan ambang jarak minimum daripada 3,000km kepada 2,000km katanya, mencerminkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap jarak perjalanan yang ditempuh pemandu e-hailing walaupun ketika mereka tidak membawa penumpang.
“Penyesuaian ini memastikan subsidi Budi95 kekal mencukupi bagi menyokong keperluan operasi kebanyakan pemandu e-hailing yang aktif” jelas beliau.
Justeru tegasnya LPKP sedia memberikan kerjasama proaktif dalam usaha membantu kementerian dan agensi berkaitan bagi memantau menambah baik dan memperkukuh pelaksanaan skim Budi95 terhadap pemandu e-hailing dan teksi.



