ARTIKEL

LUNA KRITIKAL Awal Ashaari mohon sokongan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PELAKON dan pengacara terkenal, Awal Ashaari, menyentuh hati ramai apabila memohon bantuan orang ramai bagi menyelamatkan kucing kesayangannya, Luna, yang kini berada dalam keadaan kritikal akibat kehilangan darah.

Perkongsian Awal, 43, menerusi platform Instagram Story mendapat reaksi luar biasa daripada pencinta kucing yang tampil memberikan sokongan serta menawarkan bantuan, termasuk membawa kucing mereka untuk menderma darah.

“Semakin banyak kucing yang cuba hadir untuk Luna.

Harap-harap ada yang sepadan,” tulisnya dengan penuh harapan, sekali gus mencetus rasa simpati dalam kalangan pengikut.

Sebelum ini, Awal memaklumkan bahawa Luna memerlukan penderma darah segera kerana mengalami kehilangan darah yang serius, namun tidak menjelaskan lanjut mengenai penyakit yang dihidapi haiwan kesayangannya itu.

“Kucing kami, Luna, dalam keadaan kritikal dan kehilangan banyak darah.

Dia perlukan penderma darah yang sepadan,” ujarnya dalam perkongsian terdahulu.

Dalam usahanya menyelamatkan Luna, Awal turut mengajak pemilik kucing yang tinggal berdekatan untuk hadir ke Saint Angel Animal Medical Center di Puchong.

Lebih menyentuh hati, suami kepada Scha Alyahya itu turut menawarkan untuk menanggung sepenuhnya kos rawatan kepada pemilik yang membawa kucing mereka untuk menderma darah.

“Cuma hadir bersama kucing anda ke hospital, beritahu nama Luna.

Segala kos akan dibiayai oleh pihak kami,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang tampil membantu.

Awal juga dilihat berada di hospital sepanjang proses rawatan dan berharap agar segala usaha ini dapat menyelamatkan nyawa Luna.

Perkongsian penuh kasih sayang itu bukan sahaja menyentuh hati pencinta haiwan, malah memperlihatkan sisi penyayang Awal terhadap haiwan peliharaan yang dianggap sebahagian daripada keluarganya.

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU