ARTIKEL

oppo_51

M 1663 Perjalanan ke Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PESAWAT M 1663 SIAP UNTUK BERLEPAS.

Semua penumpang telah mengambil tempat duduk masing-masing. Dia mengambil tempat duduk seperti penumpang lain. Penerbangan itu diumumkan sebagai penerbangan penuh oleh Ketua Pramugari. Lantaran itu, semua penumpang hendaklah duduk di tempat duduk seperti yang tercatat di tiket penerbangan masing-masing. Dia amat teruja setiap kali ke tanah air. Perjalanan ke tanah air dijangka mengambil masa 13 jam. Sejurus sahaja mengambil tempat duduknya, peluang dimanfaatkan untuk menyemak segala pesanan dalam aplikasi WhatsApp. Semua kandungan dalam WhatsApp itu memfokuskan sambutan Hari Malaysia. Sebelum Hari Malaysia diwartakan sebagai cuti umum, kebanyakan daripada dalam kalangan rakyat lebih memfokuskan sambutan Hari Kebangsaan yang membebaskan Semenanjung Tanah Melayu daripada penjajahan British.

Menyambut Hari Malaysia di tanah air. Itu impian yang terhias keemasan di dalam kalbunya. Malaysia, suatu nama indah dan sentimental. Terpancar di ruang fikirnya, kali pertama nama Malaysia bergema di setiap ruang Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961. Ucapan Tunku ketika menjadi tetamu kehormat dalam majlis makan tengah hari bersama sekumpulan wartawan luar negara dari Asia Tenggara mencetuskan kejutan. Sepantas kilat, intipati ucapan itu tersebar ke seluruh dunia menerusi akhbar dan radio. Ketika itu, belum wujud media sosial seperti X mahupun Facebook. Namun, dunia kewartawanan dan persuratkhabaran sudah berkembang pesat. Pena dan mesin taip para wartawan segera ligat merakam serta menyebarkan intipati ucapan Tunku itu sehingga akhbar berkenaan laris bagaikan goreng pisang panas.

Tunku membayangkan penyatuan beberapa wilayah dengan Persekutuan Tanah Melayu. Dua wilayah yang dimaksudkan terletak di Pulau Borneo, iaitu Borneo Utara dan Sarawak. Sasaran seterusnya ialah Singapura yang terletak di selatan Semenanjung Tanah Melayu. Semua yang hadir dalam majlis makan tengah hari itu bagaikan terkena renjatan elektrik. Tepukan gemuruh bergema seolah-olah menyatakan persetujuan terhadap cadangan Tunku.

Sebaik sahaja Tunku meninggalkan majlis, kebanyakan wartawan mula berlumba-lumba mendapatkan teks ucapan beliau di suatu sudut dewan makan Hotel Adelphi.

Peristiwa di Hotel Adelphi, Singapura, itu mula menjadi bahan perbualan dunia. Sudah menjadi kelaziman manusia, ada yang menerimanya dengan baik dan tidak kurang pula yang memberikan reaksi negatif terhadap ucapan tersebut. Tunku ketika itu menuju kejayaan Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya. Semenanjung Tanah Melayu baru bebas daripada penjajahan Inggeris. Kemerdekaan dinikmati oleh penduduk Semenanjung Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Kejahuan Kesultanan Melaka pada 1511 merupakan suatu pengalaman yang ngeri dan pahit. Penjajahan Pangkor pada 1874 pula membuka ruang untuk Inggeris campur tangan dalam pentadbiran Semenanjung Tanah Melayu. Rakyat berasa tertindas dan menderita di tanah air sendiri. Tujuh laungan “Merdeka!” yang dilaungkan oleh Tunku pada 31 Ogos 1957 membuka jalan kepada rakyat di Semenanjung Tanah Melayu untuk menikmati kemerdekaan.

Jika penubuhan Malaysia pula menjadi realiti, tentu penduduk Semenanjung Tanah Melayu tidak lagi bersendirian. Sebaliknya, jika penduduk ketiga-tiga wilayah di kepulauan Borneo selain Singapura sanggup bersatu menubuhkan Malaysia, tentu negara baharu bernama Malaysia akan menikmati kemajuan bersama. Sultan Brunei turut terjua dengan cadangan penubuhan Malaysia dan meminta Tunku agar segera merealisasikan impian tersebut. “Insya-Allah.” Itulah pendirian yang dipegang oleh Tunku. Apabila gerakan penubuhan Malaysia bermula, segala-galanya bergerak begitu pantas. Menurut Tunku, disebabkan gerakan penubuhan itu berlangsung begitu pantas, beliau mempunyai terlalu sedikit peluang untuk merancang seperti yang diinginkan.

Namun, tiada penjelasan lanjut tentang perkara yang sebenarnya terdapat dalam fikiran Tunku berkaitan dengan perancangan tersebut. Tekaan, tentu Tunku mahukan Malaysia maju jaya dengan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan itu hidup bersama dalam situasi aman damai. Walaupun Tunku ingin Brunei turut serta dalam penubuhan Malaysia, keinginan tersebut tidak pada tahap maksimum. Rasionalnya, Brunei di bawah perlindungan British. Sebaliknya, fokus Tunku lebih kepada Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.

Reaksi pihak media dan pihak siasah pada mulanya pelbagai. Di Kuching, akhbar The Sarawak Tribune berpendapat ucapan Tunku itu sebagai “brimful of importance”. Di Jesselton, The North Borneo News dan Sabah Times berkata, perancangan tersebut dirancang dengan baik. Tidak kurang juga yang berpendapat mereka tidak ingin untuk menjadi negara di dalam Persekutuan Malaysia. Sebaliknya, mereka mahu menjadi rakan kongsi yang setara. Tiba 1 November 1961, Tunku terbang ke London.

Di London, beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Britain, Harold MacMillan. Pada akhir pertemuan itu, Tunku bersetuju dari sudut dasar bahawa penyatuan Singapura, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei dilikat dengan syarat. United Kingdom diberi hak untuk mengekalkan semua pangkalan di Singapura untuk tujuan membantu dari aspek pertahanan Malaysia dan pertahanan Komanwel selain mempertahankan keamanan di rantau Asia Tenggara.

Selain itu, dipersetujui juga penubuhan sebuah suruhanjaya yang ahlinya terdiri dari Semenanjung Tanah Melayu dan British.

Tujuan penubuhan suruhanjaya tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak, sama ada bersetuju atau sebaliknya tentang penubuhan Malaysia. Suruhanjaya Cobbold itu ditubuhkan pada 17 Januari 1962. Lord Cobbold, bekas Gabenor Bank Of England dilantik untuk mengetuai suruhanjaya itu. Ahli-ahlinya dari Semenanjung Tanah Melayu terdiri daripada Mohd. Ghazali Shafie, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Semenanjung Tanah Melayu, Datuk Wong Pow Nee, Ketua Menteri Pulau Pinang, Sir David Watherson, Ketua Setiausaha British terakhir di Semenanjung Tanah Melayu dan Sir Anthony Abell, bekas Gabenor British di Sarawak. Pasca penubuhannya, suruhanjaya tersebut segera bergerak. Di antara 19 Februari sehingga 18 April 1962, sebanyak 4,000 penduduk di Sarawak dan Borneo Utara ditemui selain menerima 2,200 memorandum bertulis daripada parti siasah, ketua masyarakat dan orang perseorangan. Suruhanjaya Cobbold menyerahkan dapatan mereka kepada kerajaan British dan Semenanjung Tanah Melayu pada Jun 1962. Laporan itu diterbitkan pada 1 Ogos 1962. Berdasarkan hasil dapatan itu, majoriti daripada penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong cadangan penubuhan Malaysia dengan pelbagai syarat lain jaminan kepentingan tempatan.

Sistem persekutuan yang bakal diperkenalkan itu harus berfungsi dengan lancar. Lantaran itu, Kerajaan Semenanjung Tanah Melayu dan Britain bersetuju untuk menubuh Jawatankuasa Antara Kerajaan. Jawatankuasa tersebut yang juga dikenali sebagai Inter-Governmental Committee ditubuhkan pada 28 Februari 1962. Penubuhannya bertujuan untuk memperincikan cadangan terma perlembagaan bagi pembentukan Malaysia, sekali gus menjamin kepentingan khas bagi Sarawak dan Borneo Utara. Pengerusi jawatankuasa itu pula, Lord Lansdowne, Setiausaha Hal Ehwal Tanah Jajahan Britain. Selain itu, Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Semenanjung Tanah Melayu pula bertindak sebagai Timbalan Pengerusi. Jawatankuasa tersebut melawat Borneo Utara dan Sarawak pada Ogos 1962. Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan tersebut menterjemahkan tuntutan dalam Perkara 18 (Sarawak) dan Perkara 20 (Borneo Utara). Jam 7.00 malam pada 1 Ogos 1962, Britain dan Kerajaan Semenanjung Tanah Melayu secara rasminya menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia. Tunku, Tun Abdul Razak dan Tun Tan Siew Sin menandatangani bagi pihak kerajaan Malaya. Britain pula diwakili oleh Harold MacMillan sebagai Perdana Menteri, Duncan Sandys. Borneo Utara pula diwakili oleh Gabenornya Sir William Goode dan Sarawak pula oleh Gabenornya Sir Alexander Waddell. Malaysia akan ditubuh secara rasminya pada 31 Ogos 1963. Sasaran tersebut mengambil kira kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Dengan itu, apabila tiba sambutan Hari Kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu, maka Hari Penubuhan Malaysia akan juga disambut serentak pada tarikh yang sama setiap tahun. Tidak akan timbul sebarang masalah dalam kalangan rakyat apabila menyambut dua perayaan ulang tahun serentak setiap 31 Ogos. Tersimpul hasrat agar semua tindak susul berkaitan dengan penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 diharap berjalan dengan lancar tanpa sebarang rintangan.

Lamanunya tertupus apabila Ketua Pramugari mohon untuk menyemak pas masuknya. Berdasarkan tanda nama yang terpamer di dada Ketua Pramugari itu, Maria Marianne namanya. “Maaf Madam, ini bukan tempat duduk Madam,” Ketua Pramugari itu mempamerkan senyuman di bibir.

“Tempat duduk Madam di nombor 16M bukan 31M” Ketua Pramugari itu menghulurkan kembali pas masuk kepada.

“16M? Bukan 31M? Wajahnya keliru.

Dia mati-mati fikir bahawa tempat duduknya 31M. Tidak terfikir dirinya bahawa tempat duduknya dalam penerbangan itu di 16M. Sebelum ini dia memang gemar memiliki tempat duduk nombor 31M. Tetapi, kali ini dia tidak perasan anak saudaranya memiliki tempat duduk M16 apabila membeli tiket penerbangan untuknya. Namun, dia akur dengan realiti itu. Walaupun dia lebih gemar duduk di kerusi nombor 31M, tetapi tempat duduk itu bukan miliknya pada kali ini. Tempat duduk 31M itu, pemiliknya sudah menunggu untuk melabuhkan punggung di tempat duduk itu. Dia tidak mahu tawar-menawar dengan pemilik sah tempat duduk 31M itu. Kalau penerbangan itu bukan penerbangan penuh dan tempat duduk 31M itu tidak dimiliki oleh mana-mana penumpang, dia pasti akan berjuang untuk mendapatkannya. Sambil mohon maaf kepada pemilik tempat duduk 31M itu, dia berpindah ke tempat duduk nombor 16M. Apabila sahaja mengambil tempat di tempat duduk 16M, dia membuka semula buku Looking Back yang di dalamnya mengandungi tulisan Tunku Abdul Rahman berkaitan dengan tahun-tahun berjerih bagai Malaysia dan Malaysia.

Hasrat untuk menyaksikan penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963 menghadapi halangan. Tertunda. Tertunda bagaikan tertundanya pembangunan akibat beberapa faktor di luar jangka. Dua negara jiran mencipta halangan. Penimpin sebuah negara jiran tidak menerima idea penubuhan Malaysia. Rasional yang dihujahkan pemimpin negara jiran itu, penubuhan Malaysia dilakukan tanpa merujuk kepada kehendak penduduk wilayah-wilayah tersebut. Pembentukan Malaysia dianggap sebagai neokolonialisme. Pada mulanya, negara jiran itu tiada halangan dengan cadangan tersebut. Asalkan penubuhan Malaysia itu tidak membabitkan mana-mana wilayahnya. Itu syarat dikemukakan oleh pemimpin negara jiran itu. Suara persetujuan rakyat kedua-dua wilayah, iaitu Borneo Utara dan Sarawak yang dipersembahkan oleh Suruhanjaya Cobbold bagaikan tiada nilai. Sebuah lagi negara jiran tiba-tiba menuntut Borneo Utara itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Penentangan daripada kedua-dua negara jiran itu menyaksikan tujukunjuk perasaan terhadap kerajaan Semenanjung Tanah Melayu tersebut. Menjelang Februari 1963, tercetus konfrontasi oleh negara jiran terhadap Kerajaan Semenanjung Tanah Melayu. Kemunculan beberapa halangan menguji luar jangka. Namun, segala-galanya harus ditangani dengan penuh bijaksana. Brunei pula mengambil keputusan tidak menyertai penubuhan Malaysia. Lantaran itu, fokus sepenuhnya kepada tiga wilayah, iaitu Borneo Utara, Sarawak dan Singapura.

Tarikh 8 Julai 1963, pada jam 10.00 pagi di Whitehall, London sepatutnya Perjanjian Malaysia ditandatangani. Namun tertangguh. Perjanjian Malaysia hanya ditandatangani pada 9 Julai 1963. Perjanjian tersebut ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel. Tunku, Tun Abdul Razak, Tan Siew Sin, V.T. Sambanthan, Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun mewakili Kerajaan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura pula diwakili oleh Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee, Sarawak diwakili oleh Datuk Bandar Abang Mustapha, Datu Abang Openg, Temenggong Jugah Barieng, Ling Beng Siew dan P.E.H Pike, Borneo Utara pula diwakili oleh Datu Mustapha Datu Harun, Donald Stephen, W.K.H. Jones, Khoo Siak Chiew, W.S. Holley dan G.D. Sundang. Kerajaan British pula diwakili oleh Harold Macmillan, Duncan Sandys dan Lord Lansdowne. Perjanjian Malaysia itu menjadi dokumen bersajarah dan amat penting untuk diwarisi oleh generasi masa depan. Dokumen bersajarah itu tentu juga akan menjadi bahan kajian para calon sarjana. Protes daripada kedua-dua negara yang kurang bersetuju dengan pembentukan Malaysia itu tidak memahami semangat untuk meneruskan usaha pembentukan Malaysia. Tidak dinafikan bahawa selain daripada masalah tidak berpuas hati dua negara jiran akan pembentukan Malaysia, terdapat satu lagi ancaman. Pihak pengganas komunis turut mencetuskan masalah terhadap penduduk di Sarawak. Pelbagai tindakan mereka lakukan untuk meruntuhkan rakyat. Namun, kegiatan subversif mereka mampu dikawal oleh pihak pasukan keselamatan.

Menjelang pembentukan Malaysia pada 31 Ogos 1963, pemimpin negara jiran semakin tidak berpuas hati. Akibatnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu diminta campur tangan. Betapa gembiranya negara jiran apabila pihak Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersetuju untuk menilai pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Tujuannya adalah untuk memastikan rakyat di Borneo Utara dan Sarawak benar-benar bersetuju dengan pembentukan Malaysia. Dengan itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, U Thant mahu pembentukan Malaysia ditangguh selama dua minggu dari tarikh 31 Ogos 1963. Walaupun pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menangguhkan tarikh penubuhan Malaysia, tetapi, Borneo Utara mengambil keputusan untuk menukarkan namanya menjadi Sabah dan tanggal 31 Ogos setiap tahun akan menjadi Hari Sabah. Pemimpin negara jiran berharap agar penangguhan itu selama enam bulan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan syarat bahawa semua pihak hendaklah menerima keputusanNya. Dengan itu, misi seramai sembilan orang yang diketuai oleh Lawrence V. Michelmore, bekas Pengarah Personnel di Secretariat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dihantar untuk menilai pandangan penduduk Sarawak dan Sabah.

Pada 14 September 1963, U. Thant mengumumkan dapatanNya. Berdasarkan Laporan Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, majoriti daripada penduduk bersetuju dengan penubuhan Malaysia. Tersentak pemimpin negara jiran. Mereka tetap tidak berpuas hati. Tidak terfikir oleh mereka bahawa pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan sebegitu pantas membuat keputusan. Keesokan harinya, iaitu pada pagi Ahad, 15 September 1963, Sir Alexander Waddell menamatkan perkhidmatannya sebagai Gabenor Kolonial British terakhir di Sarawak. Beliau meninggalkan Astana untuk kembali ke London. Dengan itu, tamatlah penjajahan British di Sarawak.

Beberapa minit sebelum pesawat hendak mendarat, muncul di skrin fikirnya, zaman kanak-kanaknya menjelang pembentukan Malaysia. Dia sekeluarga akan meninggalkan Kuching. Ayahnya turut menamatkan perkhidmatannya sebagai pegawai British di Sarawak. Berat rasanya hendak meninggalkan Kuching. Kuching tempat kelahirannya apabila Semenanjung Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957. Disebabkan dia lahir di Kuching beberapa tahun sebelum pembentukan Malaysia, Kuching dianggapnya sebagai tanah airnya.

Hampir setiap tahun dia berkunjung ke Kuching apabila tiba Hari Malaysia. Setiap kali berkunjung ke Kuching, dia akan disambut oleh Maymon, rakan sepermainan pada zaman kanak-kanaknya di Kuching. Setiap hujung minggu, ibu bapa Maymon akan membawa Maymon ke rumahnya di Jalan Rodway. Ayahnya dan ayah Maymon rakan sekerja di Pejabat Residen di Kuching ketika Sarawak di bawah penjajahan British. Emaknya dan emak Maymon pula rakan baik. Setiap hujung minggu emaknya belajar memasak makanan orang Melayu selain belajar membuat kuih-muih traditional Sarawak daripada emak Maymon. Persahabatan keluarganya dengan keluarga Maymon terjalin walaupun keluarganya sudah lebih enam puluh tahun meninggalkan Sarawak. Penubuhan Malaysia tidak pernah memisahkan persahabatan keluarga mereka. Kini, kesemua ibu bapa mereka telah lama meninggal dunia. Bahkan, dirinya dan Maymon sekarang melangkah ke usia emas. Namun, persahabatan mereka semakin teguh. Baginya, selagi usianya masih ada, selagi itulah dia akan meneruskan perjalanan ke Malaysia. Gugur air matanya apabila terbangun sebaik pesawat mendarat. Itulah perjalanan penubuhan Malaysia yang mendepani pelbagai cabaran.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU