KUCHING: Inisiatif Friends of Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) bakal diperkenalkan bagi memperluas kefahaman dan sokongan Ahli Parlimen serta senator terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus mengangkatnya sebagai naratif nasional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu akan diusahakan bersama Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia bagi memperkukuh pelaksanaan MA63 melalui sokongan merentasi wilayah dan politik kepartian.
“Friends of BHESS akan menjadi wadah untuk memperluaskan perbincangan dan perkongsian maklumat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan senator, khususnya mengenai perkara yang memerlukan kefahaman serta sokongan di peringkat Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, persetujuan untuk mengangkat MA63 sebagai naratif nasional dicapai bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kota Kinabalu.
Tambahnya, Friends of BHESS diharapkan dapat menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif merentasi wilayah serta politik kepartian.
“Pengukuhan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya.
“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara,” ujarnya.
Katanya lagi, pendekatan itu penting kerana MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, malah merupakan sebahagian daripada asas pembentukan serta pengukuhan Persekutuan Malaysia.
“Pelaksanaannya memerlukan kefahaman dan dukungan bersama dari seluruh negara.
“Inisiatif ini turut selari dengan persetujuan prinsip Jemaah Menteri terhadap penambahan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat,” jelasnya.
Menurut beliau, usaha merealisasikan perkara itu memerlukan proses perundangan serta sokongan mencukupi di Parlimen.
“Perkara ini tidak boleh digalas oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya memerlukan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.



