ARTIKEL

MA63: Perbincangan mengenai royalti minyak kepada Sabah, Sarawak masih berjalan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai peratus pemberian royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak masih aktif berjalan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas mesyuarat akhir Jawatankuasa Khas Kabinet yang ditubuhkan untuk memperhalusi perkara tersebut.

“Perbincangan isu royalti minyak telah diadakan dalam forum berasingan dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Ketua Menteri Sabah dan Sarawak.

“Jadi buat setakat ini, perbincangan ini masih lagi aktif dan saya difahamkan bahawa pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan terus berbincang dengan Ketua Menteri Sabah dan Sarawak mengenai isu itu,” katanya semasa sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (BN-Kota Marudu) yang mahu tahu mengenai perkembangan perbincangan mengenai peningkatan pemberian royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang ditubuhkan untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Jawatankuasa Khas Kabinet yang ditubuhkan untuk memperhalusi kaedah pembayaran tuntutan royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak diberi masa enam bulan untuk berbincang dan membuat keputusan.

Mohamed Azmin berkata, tempoh itu diberikan untuk menyediakan cadangan sebelum keputusan muktamad bagaimana peningkatan royalti minyak daripada lima peratus ke 20 peratus itu, akan dijalankan.

Menjawab soalan asal Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) yang ingin tahu mengenai perincian perkara yang telah dipersetujui antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak, Liew berkata setakat ini tujuh isu telah mendapat persetujuan bersama.

Perkara itu ialah tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan; pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas; pelaksanaan kerja raya Persekutuan dan Negeri; tenaga buruh; kuasa negeri ke atas isu kesihatan; pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan; dan isu pertanian dan perhutanan.

Oktober tahun lalu, satu Jawatankuasa Kabinet Khas yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ditubuhkan bertujuan menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mengembalikan keistimewaan kepada Sabah dan Sarawak.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Liew, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Mohamed Azmin; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo; Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Turut menganggotai ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking; Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Anggota lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah; Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid; Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin; Peguam Negara Tommy Thomas serta Profesor undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. – Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan