PENYANYI pop antarabangsa Madison Beer, 27, dan bintang Los Angeles Chargers, Justin Herbert, 28, secara rasmi mengumumkan pertunangan mereka menerusi Instagram pada 28 Julai lalu.
Pasangan selebriti itu berkongsi berita gembira berkenaan dengan memuat naik beberapa foto romantis, termasuk gambar cincin berlian yang diterima Beer.
“Kenali tunang saya,” tulis mereka secara ringkas pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Ketika ditemu bual SiriusXM NFL Radio, Herbert mengakui Beer telah membawa perubahan besar dalam kehidupannya dan dia teruja untuk melangkah ke fasa baharu bersama penyanyi berkenaan.
“Ia sesuatu yang tidak pernah saya sangka boleh berlaku. Sangat indah apabila kita bertemu dengan insan yang benar-benar ditakdirkan untuk kita dan dapat menghabiskan masa bersama.

“Saya berasa teruja dan tidak sabar. Dia adalah yang terbaik untuk saya,” katanya.
Hubungan percintaan pasangan itu mula mendapat perhatian media sejak pertengahan tahun lalu selepas Beer beberapa kali dilihat hadir menyaksikan perlawanan Los Angeles Chargers bagi memberikan sokongan kepada Herbert.
Herbert turut membuat penampilan istimewa dalam video muzik lagu terbaharu Beer berjudul Lovergirl yang dilancarkan kira-kira dua bulan lalu.
Selepas itu, Beer semakin kerap dilihat berada di stadium untuk memberikan sokongan moral kepada tunangnya ketika pasukan Los Angeles Chargers beraksi.
Hubungan mereka semakin menjadi perhatian apabila beberapa foto Beer dan Herbert ketika menyaksikan perlawanan bola keranjang antara Los Angeles Lakers dengan Minnesota Timberwolves pada Oktober tahun lalu tular di media sosial.
Kemunculan bersama itu dianggap sebagai antara detik yang menguatkan spekulasi mengenai hubungan istimewa mereka dalam kalangan peminat.
Jurulatih Los Angeles Chargers, Jim Harbaugh, barisan pemain pasukan berkenaan serta rakan artis termasuk Hailey Bieber, Tate McRae dan Dove Cameron turut mengucapkan tahniah kepada pasangan itu.






