“Sik apa mak, kamek sik balit cuti kali tok.” (Tidak mengapa, mak. Saya tidak pulang pada cuti kali ini.)
Mungkin ayat ini kedengaran ringkas, bahkan tidak membawa sebarang makna kepada segelintir anggota masyarakat.
Namun, anak yang belajar jauh dari keluarga dan merantau demi menuntut segulung ijazah pasti memahami betapa beratnya kata-kata tersebut untuk dilafazkan.
Bukan kerana berniat untuk tidak mahu pulang atau sudah tidak merindui rumah, tetapi kerana menyedari hakikat bahawa sekeping tiket penerbangan untuk kembali ke pangkuan keluarga mungkin menuntut pengorbanan lebih daripada sekadar wang.


Bagi sesetengah keluarga di Sarawak, harga sekeping tiket bukan sekadar kos perjalanan, sebaliknya menjadi lambang pengorbanan yang tidak pernah diceritakan.
Kepulangan semakin menjadi suatu kemewahan apabila tambang penerbangan terus melonjak, sekali gus memaksa mereka membuat pilihan sama ada untuk pulang atau mengorbankan hasrat berkenaan.
Itulah realiti yang dilalui Rasheeqa Hanis Rabuan, 21, apabila terpaksa memendam rindu terhadap keluarga kerana enggan melihat ibunya berkorban mengeluarkan wang yang banyak semata-mata untuk membeli tiket penerbangan bagi kepulangannya.
Pelajar Diploma Terapi Cara Kerja di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Johor itu berkata, setiap kali cuti semester atau musim perayaan menghampiri, perkara pertama yang dilakukannya ialah menyemak harga tiket penerbangan daripada pelbagai syarikat penerbangan dan platform tempahan dalam talian dengan harapan masih ada tambang yang mampu dibeli.
Bagaimanapun, harapan itu sering kali berakhir dengan kekecewaan apabila harga tiket terus meningkat sehingga melebihi RM1,000 bagi perjalanan sehala ketika musim perayaan.

Situasi itu memaksanya membuat antara keputusan paling sukar sepanjang bergelar pelajar apabila memilih untuk tidak pulang ke Sarawak sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini. Bukan kerana tidak merindui keluarga, tetapi kerana enggan melihat ibu bapanya terus berkorban untuk membeli tiket yang harganya jauh melebihi kemampuan mereka.
“Sejujurnya, kalau saya minta untuk pulang, pasti mak akan mencari pelbagai cara untuk mendapatkan wang bagi membeli tiket penerbangan. Tetapi, saya tidak sampai hati untuk menyusahkan keluarga dengan membelanjakan wang sehingga RM1,000 semata-mata untuk saya pulang.
“Lebih baik saya tidak balik daripada membebankan mereka. Saya mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran sepanjang berada di sini,” katanya.
Sepanjang cuti selama seminggu, Rasheeqa hanya menghabiskan masa di bilik kolej kerana kebanyakan pelajar lain pulang ke kampung, manakala kafeteria dan kemudahan lain turut ditutup.
Walaupun cuba mengisi masa dengan belajar, berehat dan bersenam, suasana sunyi tetap mengingatkannya kepada keluarga yang berada di seberang Laut China Selatan.
Bagi Rasheeqa, harga tiket yang tinggi bukan sekadar membebankan kewangan seorang pelajar, malah perlahan-lahan merampas peluang untuk pulang, berkumpul dan mencipta kenangan bersama-sama keluarga pada saat yang paling bermakna.


Dari sudut pandang anak-anak, mereka mungkin memilih untuk memendam rindu kerana enggan membebankan keluarga.
Bagaimanapun, kita tidak dapat menafikan bahawa kasih sayang ibu bapa lebih besar daripada rasa serba salah yang dihadapi oleh seorang anak.
Ada ibu bapa yang secara diam-diam merancang dan berkorban agar dapat melihat anak melangkah keluar dari balai ketibaan selepas berbulan-bulan menahan rindu.
Kisah Ahmadihi Zawawi, 59, seorang bapa kepada enam anak, memperlihatkan kesanggupannya mengenepikan segala keinginan sendiri bagi memastikan anak-anak dapat pulang ke pangkuan keluarga setiap kali menjelang musim perayaan dan cuti semester.
Katanya, menangguhkan keinginan untuk membeli barangan yang diingini bukan lagi suatu pengorbanan, sebaliknya sudah menjadi kebiasaan kerana baginya, setiap ringgit yang disimpan mampu membuka jalan buat anak-anak mengejar cita-cita.
“Memang ada benda yang saya ingin beli, tetapi saya perlu memberi keutamaan kepada anak-anak dahulu. Buat masa ini, pelajaran anak-anak lebih penting berbanding kemahuan diri kerana keinginan boleh ditangguhkan apabila ada rezeki lebih nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha memastikan anak-anak pulang ke pangkuan keluarga setiap kali musim cuti bukan sekadar untuk melepaskan rindu, malah menjadi ruang untuk mengembalikan semangat selepas penat mengejar cita-cita jauh dari keluarga dan kasih sayang ibu bapa.
“Kita tidak mahu mereka asyik belajar sehingga tertekan. Sekurang-kurangnya, mereka dapat makan, berbual dan berehat bersama-sama keluarga apabila berada di rumah, sekali gus memberi kekuatan kepada mereka untuk terus berjuang,” katanya.
Beliau turut menegaskan segala penat lelah itu tidak pernah sekali pun terasa sia-sia, lebih-lebih lagi apabila melihat anak-anak mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya masing-masing.
“Semua pengorbanan dan kesusahan yang dilalui selama ini seolah-olah hilang begitu sahaja,” katanya sambil mengukir senyuman bangga sebagai seorang bapa.
Ahmadihi turut menceritakan usahanya mengumpul wang menerusi pelbagai pekerjaan sampingan, termasuk menjadi nelayan, mengambil upah bertukang dan menjadi anggota RELA, selain meneruskan tugas hakikinya dalam bidang keselamatan bagi memastikan keperluan keluarga sentiasa mencukupi.
“Saya tidak pernah lupa untuk membuat simpanan. Sekiranya ada RM100, saya simpan. Kalau ada RM200, saya simpan lagi. Apabila wang simpanan sudah mencukupi untuk membeli tiket pergi dan balik, saya terus beli,” katanya sambil tersenyum, menggambarkan rutin yang tidak pernah gagal dilakukannya demi memastikan anak-anak dapat pulang.
Menurutnya, sekeping tiket penerbangan bukan sekadar kos perjalanan, sebaliknya merupakan satu pelaburan kasih sayang yang memastikan anak-anaknya sentiasa mempunyai jalan untuk pulang ke pangkuan keluarga walaupun harga tambang terus meningkat saban tahun.
“Yang penting, simpan awal. Kalau tunggu saat akhir, memang anak tidak berpeluang balik,” katanya ringkas, namun cukup menggambarkan bagaimana seorang bapa merancang kewangan lebih awal supaya anak dapat pulang dan mengubat rindu yang terpendam.
Jika Ahmadihi sanggup menyimpan sedikit demi sedikit bagi memastikan anak-anak mempunyai jalan untuk pulang, kisah Nor Iryssa Ying, 25, pula memperlihatkan sisi seorang anak yang memahami nilai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh keluarganya.
Katanya, kos perjalanan ditanggung oleh ibu dan ibu saudaranya, namun beliau sedar bahawa setiap permintaan untuk membeli tiket turut memberi tekanan kepada keluarga yang mempunyai komitmen kewangan tersendiri.
“Saya tahu duit boleh dicari semula, tetapi masa bersama-sama keluarga tidak boleh diganti,” katanya.
Pelajar yang menuntut di Terengganu itu menambah, kepulangan ke Sarawak bukan sekadar rutin setiap kali cuti semester, tetapi menjadi ruang untuk mendapatkan kembali sokongan dan semangat daripada keluarga selepas lama berada jauh di perantauan.
Situasi itu menyebabkan beliau terbiasa menyemak harga tiket penerbangan setiap kali mempunyai masa terluang bagi memantau kadar tambang dan mendapatkan harga yang lebih rendah sebelum membuat tempahan.
“Kalau jumpa harga tambang sekitar RM400, masih dianggap berpatutan bagi perjalanan dari Terengganu ke Kuching. Namun, sekiranya harga mencecah ribuan ringgit, sudah dikira terlalu mahal.
“Pada Hari Raya Aidiladha lalu, saya terpaksa menerima hakikat untuk tidak pulang buat pertama kali sepanjang tempoh pengajian kerana harga tiket terlalu mahal,” katanya.
Nor Iryssa turut menyatakan pengorbanan keluarga bukan sesuatu yang patut dipandang ringan kerana setiap tiket yang dibeli membawa bersama kasih sayang dan harapan agar seorang anak dapat kembali ke rumah walaupun hanya untuk tempoh yang singkat.
Kisah Mohd Zul Faez Zulkifli, 40, pula membawa perspektif seorang bapa yang perlu membuat pertimbangan setiap kali merancang perjalanan pulang bersama-sama keluarga kerana setiap keputusan perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan mereka.
Sebelum mempunyai anak kecil, katanya, beliau bebas memilih waktu penerbangan, sama ada pada awal pagi mahupun lewat malam, memandangkan tambang pada waktu tersebut lazimnya lebih murah.
“Kini, setiap perjalanan tidak lagi bergantung pada harga semata-mata kerana keselesaan anak turut menjadi pertimbangan utama dalam pemilihan waktu penerbangan,” katanya ringkas.
Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, harga tiket yang tinggi bukan sahaja memberi kesan kepada perancangan perjalanan, malah ada kalanya memaksa beliau sekeluarga menangguhkan hasrat untuk pulang ke kampung halaman walaupun kerinduan terhadap keluarga di Sarawak semakin terasa.
Lebih membebankan lagi, harga tiket penerbangan pergi dan balik pernah mencecah RM800 bagi seorang penumpang sehingga menyebabkan perjalanan yang sepatutnya menggembirakan bertukar menjadi beban kewangan yang perlu dipertimbangkan dengan teliti.
“Bila harga terlalu mahal, memang terpaksa berkorban untuk tidak balik sebab kalau sudah lima orang, memang jumlahnya boleh buat kita fikir banyak kali,” katanya.
Kini, katanya, beliau dan keluarga hanya pulang ke Sarawak sekali atau dua kali setahun, bergantung pada harga tiket semasa.
Dengan kos perjalanan yang boleh mencecah RM3,500 untuk seisi keluarga, setiap perjalanan pulang ke Sarawak memerlukan perancangan rapi serta persefahaman dalam kalangan semua ahli keluarga.



