ARTIKEL

John Sikie ketika menyampaikan ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini. -Foto Ghazali Bujang

Mahkamah Anak Negeri selesai 14,505 kes sejak 1992

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahkamah Anak Negeri Sarawak berjaya menyelesaikan 14,505 kes atau 77 peratus daripada keseluruhan 18,799 kes mahkamah berdaftar sehingga April tahun ini.

Menteri di Jabatan Premier, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata ia juga melibatkan pelanggaran adat, kes sivil, permohonan pengiktirafan sebagai Anak Negeri Sarawak dan kes rayuan yang didaftarkan sejak tahun 1992 di semua peringkat mahkamah di seluruh negeri ini.

Katanya, Mahkamah Anak Negeri sedang berusaha sedaya upaya memastikan baki kes dapat diselesaikan dengan segera dan berkesan.

“Justeru, ini menunjukkan keberkesanan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Mahkamah Anak Negeri dan mencerminkan peningkatan keupayaan pemimpin masyarakat serta petugas mahkamah dalam mengurus pertikaian dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu sejak 2025, Mahkamah Anak Negeri Sarawak telah berjaya menganjurkan tujuh Program Pembangunan Kapasiti di Bahagian Kapit, Sibu, Sarikei, Bintulu, Miri, Sri Aman dan Kuching/Serian.

Jelasnya, program berkenaan melibatkan 329 peserta terdiri daripada 147 Ketua Masyarakat, 87 Ketua Kaum, 15 Pegawai Tadbir, 38 Kerani Mahkamah dan 42 Peon Mahkamah di pejabat daerah masing-masing.

“Penekanan khusus turut diberikan terhadap peningkatan pengetahuan dan kemahiran teknikal kerani mahkamah serta peon mahkamah dalam pengurusan rekod dan pentadbiran kes terutama sekali berkaitan penggunaan Sistem Mahkamah Anak Negeri,” ujarnya.

Beliau memberitahu, selain Program Pembangunan Kapasiti, Mahkamah Anak Negeri turut menganjurkan beberapa Sesi Libat Urus Peringkat Daerah bersama-sama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Sesi Pemantapan bagi Pegawai Pengetua di peringkat Mahkamah Ketua.

“Program ini bertujuan memberikan bimbingan secara langsung, memperkukuh pelibatan serta memberi sokongan kepada pegawai dengan KMKK di daerah-daerah terpilih.

“Ekoran itu, sejak 2025 juga sebanyak 10 sesi libat urus telah berjaya dianjurkan di Mulu, Siburan, Serian, Kapit, Marudi, Bario, Sibu, Selangau, Limbang dan Nanga Mendamit melibatkan seramai 172 peserta,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu memaklumkan, kerajaan akan terus memperkukuh institusi Mahkamah Anak Negeri melalui pelibatan berterusan, latihan dan penambahbaikan pentadbiran agar institusi ini terus dapat berkhidmat kepada rakyat secara berkesan, berwibawa dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Sementara, berhubung cadangan pindaan Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992, beliau memberitahu bahawa draf pindaan tersebut sedang melalui proses semakan menyeluruh.

“Kerajaan sedang menjalankan penelitian yang teliti dan berhati-hati untuk memastikan perubahan yang dicadangkan adalah komprehensif, praktikal serta responsif terhadap keperluan dan cabaran semasa yang dihadapi sistem Mahkamah Anak Negeri.

“Sehingga pindaan tersebut dimuktamadkan dan dikuatkuasakan, Mahkamah Anak Negeri akan terus beroperasi berdasarkan kerangka perundangan sedia ada,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Kira-kira 16 rumah kayu musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, malam semalam. Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat