ARTIKEL

Kredit: Freepik | Bernama

Mahkamah rayuan AS tolak tangguh saman bayaran balik tarif Trump

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

WASHINGTON: Sebuah mahkamah rayuan persekutuan pada Isnin menolak permohonan untuk menangguhkan tindakan undang-undang yang difailkan bagi menuntut bayaran balik tarif yang diputuskan oleh Mahkamah Agung bulan lalu sebagai dikenakan secara tidak sah oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi.

Pentadbiran sebelum ini pada Jumaat memohon agar mahkamah menangguhkan pengeluaran sebarang mandat selama 90 hari, namun Mahkamah Rayuan Litar Persekutuan menolak permohonan itu dan membenarkan tindakan undang-undang diteruskan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS.

Kes itu difailkan oleh sekumpulan lima perniagaan kecil yang menuntut bayaran balik tarif yang telah mereka bayar di bawah dasar tarif global yang diperkenalkan Trump.

Mahkamah Agung dalam keputusan 6-3 memutuskan bahawa Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA), yang sebelum ini menjadi asas perundangan bagi langkah tarif Trump, tidak memberikan kuasa kepada presiden untuk mengenakan tarif secara menyeluruh.

Pada hari yang sama, Trump cuba mengatasi keputusan itu dengan mengenakan tarif global 10 peratus di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974.

Beliau berkata kadar cukai itu dinaikkan kepada 15 peratus sehari kemudian, namun pegawai Rumah Putih menjelaskan bahawa hanya dekri 10 peratus yang telah ditandatangani secara rasmi, manakala sebarang kenaikan kepada 15 peratus akan dilaksanakan pada peringkat kemudian.

Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 membenarkan presiden mengenakan tarif sementara sehingga 150 hari sebagai tindak balas terhadap defisit imbangan pembayaran yang “besar dan serius.”

Selepas tempoh 150 hari, Kongres perlu meluluskan tarif berkenaan, walaupun pentadbiran berkata ia akan mencari jalan untuk mengatasi keperluan itu.

Dalam keputusannya, Mahkamah Agung menyatakan bahawa Perlembagaan “dengan sangat jelas” memberikan kuasa percukaian, termasuk keputusan untuk mengenakan tarif, kepada Kongres dan bukannya presiden.

“Penggubal Perlembagaan tidak memberikan sebarang bahagian kuasa percukaian kepada Cabang Eksekutif,” tulis Ketua Hakim John Roberts bagi pihak majoriti, merujuk kepada penggubal Perlembagaan. — Bernama

BERITA LAIN

Pawagam China bukan sekadar tempat tonton filem

BEIJING: Nilai pengeluaran keseluruhan rantaian industri perfileman China dianggarkan mencecah 480 bilion yuan (RM294 bilion) sejak awal tahun ini, sekali gus menandakan pertumbuhan yang mampan.

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka