MENGakhiri tempoh sebagai ratu cantik bukan penamat kepada sebuah perjuangan, sebaliknya menjadi lembaran baharu yang lebih bermakna.
Bagi bekas juara Miss Petite Global 2025, Anita Kurach, detik melangkah turun dari pentas utama tidak memadamkan obor cita-cita dan khidmat baktinya kepada masyarakat.
Walaupun mahkota kebanggaan kini bertukar tangan, komitmen Anita untuk memacu perubahan sosial tetap utuh menerusi peranan baharunya sebagai Duta Rasmi Miss Petite Global.
Anugerah Kemanusiaan yang diraihnya sepanjang bergelar ratu bukan sekadar simbol penghargaan, malah menjadi dorongan utama untuk terus melangkah.
Sepanjang tempoh memegang gelaran tersebut, beliau secara konsisten mengabdikan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, melawat komuniti yang memerlukan serta menyokong pelbagai inisiatif kebajikan kanak-kanak.
Penganugerahan tersebut membuktikan peranan seorang ratu cantik jauh melangkaui dunia glamor dan pentas peragaan.
“Saya telah meletakkan mahkota, namun saya tidak pernah mengetepikan matlamat hidup saya.
“Bagi saya, keindahan hakiki sesuatu gelaran terletak pada sejauh mana platform yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk mengangkat martabat dan membela nasib insan lain yang kurang bernasib baik,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Menabur bakti demi generasi masa depan
Memandang ke hadapan, wawasan utamanya adalah untuk menubuhkan yayasan kebajikan khusus bagi anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik.
Menerusi yayasan ini, beliau berhasrat untuk menyediakan akses pendidikan yang lebih baik, penjagaan yang sempurna serta membina keyakinan diri dalam kalangan generasi muda bahawa latar belakang yang sukar bukan penghalang untuk mencapai cita-cita.
Prinsip hidupnya mudah tetapi mendalam. “Kecantikan tidak semestinya sentiasa baik, tetapi kebaikan sudah semestinya indah.”
Mesej inilah yang sentiasa dibawa setiap kali beliau menjejakkan kaki ke rumah kebajikan dan organisasi kanak-kanak di seluruh dunia.
Perjalanan kerjayanya kini memasuki babak baharu yang lebih mencabar apabila Anita secara rasmi dilantik sebagai Pengarah Kebangsaan.
Berbekalkan pengalaman luas menghadiri pelbagai acara antarabangsa bersama penganjur dan tokoh industri ratu cantik dunia, pandangan serta kepimpinannya kini semakin matang.
Setakat ini, beliau berjaya membuka ruang kepimpinan dan peluang pendedahan antarabangsa di Jerman serta komited untuk meluaskan lagi pengaruh berkenaan ke seluruh rantau Eropah.
Visi utamanya adalah untuk mencari, mencungkil dan memperkasakan wanita bertubuh rendah (petite) yang sering dinafikan peluang dalam pertandingan kecantikan tradisional disebabkan faktor ketinggian.
Beliau percaya kecantikan sebenar seorang ratu tidak dinilai berdasarkan gaun malam yang mewah atau solekan yang tebal, sebaliknya melalui mesej yang disampaikan, adab dalam pembawaan serta kesanggupannya untuk menghulurkan tangan dan membimbing wanita lain.

Muzik medium pemberkasaan wanita
Selain aktiviti kemanusiaan dan kepimpinan dalam dunia ratu cantik, seni muzik turut menjadi medium penting baginya untuk menyampaikan mesej pemberkasaan.
Ketika kunjungan terbaharunya ke Malaysia, beliau mendendangkan lagu ciptaan sendiri berjudul The Queen.
Lagu ini dicipta khas untuk menyuntik semangat kepada setiap wanita agar menyedari potensi, kekuatan serta nilai murni yang wujud dalam diri masing-masing tanpa terlalu bergantung pada pengiktirafan luaran.
Mesej lagu berkenaan turut disampaikan secara mendalam semasa lawatan kebajikan bersama Pertubuhan Miss Petite Global ke sebuah rumah anak yatim tempatan, sekali gus membuktikan muzik, bakti sosial dan penganjuran pertandingan ratu cantik saling melengkapi antara satu sama lain.
Di samping kesibukan melaksanakan tugas kemanusiaan, beliau kini rancak membina kerjaya profesional di Tokyo, Jepun, sebagai personaliti media dan bakat antarabangsa.
Pelibatannya dalam pelbagai program televisyen, industri fesyen serta projek kebudayaan di Jepun memperkukuh kemahirannya untuk berkomunikasi merentasi pelbagai budaya.
Baginya, pengaruh dan impak positif boleh dicetuskan menerusi pelbagai saluran, sama ada di pentas peragaan dunia, kaca televisyen, media sosial mahupun menerusi kerja amal secara langsung bersama masyarakat setempat.

Platform Malaysia berjiwa antarabangsa
Untuk rekod, Pertubuhan Miss Petite Global merupakan sebuah organisasi pertunjukan bakat dan kecantikan antarabangsa yang diasaskan di Malaysia oleh anak tempatan kelahiran Sarawak, Nickson Sim.
Pertubuhan ini ditubuhkan untuk memberikan ruang khas kepada wanita bertubuh rendah dari seluruh dunia bagi menyerlahkan bakat, keyakinan, kepelbagaian budaya dan matlamat murni mereka pada peringkat global.
Pihak organisasi percaya bahawa faktor ketinggian tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi seseorang wanita untuk berdiri tegu h di pentas antarabangsa dan membawa perubahan yang bermakna kepada dunia.
Perjalanan berterusan bekas Miss Petite Global 2025 ini menjadi bukti kukuh bahawa legasi sebenar seseorang ratu hanya bermula selepas mahkota diserahkan.








