Mahu kaya melalui Youtube

RAMAI yang berimpian menjadi Youtuber untuk berkongsi kisah dan cerita melalui video untuk tontotan tempatan mahupun antarabangsa.

Jika video tentang kisah menarik mendapat tontonan ramai dan banyak dilanggan, seseorang Youtuber akan dibayar secara bulanan oleh Youtube.

Malah ada yang sudah kaya. Bagi salah seorang Youtuber berasal dari Kampung Sungai Kut Dalat, Niel Chalesypine Mosing, 30, capaian Internet perlahan tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

Baru-baru ini dia yang juga aktif dalam dunia fotografi berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan anjuran syarikat pembekal foto antarabangsa Shutterstock, sekali gus menerima hadiah AS$1,000 (RM4,116).

“Saya bersyukur dan teruja kerana berjaya memenangi pertandingan ini walaupun hanya tempat ketiga, dalam kategori foto tercantik. “Pertandingan ini telah diadakan sekitar Mac lalu. Saya hantar beberapa foto melalui dalam talian mengikut syarat yang ditetapkan oleh penganjur.

“Malah peserta hanya dibenar menggunakan telefon dan perlu disertakan video sebagai bukti kami merakam gambar berkenaan,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Kongsinya lagi, rangkaian telekomunikasi kurang stabil merupakan cabaran utama sepanjang dia memuat naik foto berkenaan apatah lagi video ke dalam Youtube.

“Ini merupakan pertandingan dalam talian yang pertama saya sertai. Cabaran ini banyak memberi tekanan kepada saya untuk menghantar video dan gambar berkenaan.

Saya tetap bersyukur mendapat tempat ketiga, “jelasnya lagi. Dia yang kini bekerja sebagai Pembantu Setiausaha Pusat Khidmat Adun Dalat turut berkongsi pengalaman sebagai Youtuber sejak 2016. Dia kini dapat menjana pendapatan dan dibayar oleh Youtube.

Bulan lalu dia telah dibayar RM1,300. “Saya mula berjinak-jinak dalam dunia pembikinan video sejak 2016. Saya merakam video adat tarian Melanau pada Pesta Kaul di Kampung Sungai Kut Muara Dalat.

“Saluran Youtube saya Niel Studio mula dipantau oleh pihak Youtube pada Jun 2020 setelah lebih lima tahun aktif. “Saya berharap dapat menjadi seorang Youtuber profesional dan berjaya serta mampu menjadikan Youtuber ini sebagai kerjaya tetap saya kelak. Mungkin boleh kaya,” ujarnya.

Dalam pada itu Niel turut menasihati sesiapa sahaja terutamanya penduduk di luar bandar yang mula berjinak-jinak dalam dunia Youtube kekal bersabar dan jangan mudah putus asa. “Sudah lama saya terlibat sebagai Youtuber, namun saya masih tetap belajar dan mengharapkan sokongan serta dorongan daripada semua pihak.

“Setiap malam saya akan menyertai sidang video langsung melalui aplikasi Discord bersama-sama pengguna Youtube dari luar negara seperti Indonesia termasuk dari dalam negara. “Kami akan berkongsi segala ilmu mengenai Youtube yang boleh dijadikan panduan selain menjadi inspirasi untuk video kami seterusnya. Mereka berkongsi banyak idea dan ilham, malah di Discord kami juga dapat menjana pendapatan,” ujarnya lagi.

Niel memberitahu dia kini berusaha untuk meningkatkan jumlah langganan saluran Youtube miliknya, melalui video menarik yang akan dikongsi. “Belia Dalat perlu berani belajar mengenai Youtube. Berusaha menambah ilmu untuk panduan diri.

“Kebanyakan yang mula-mula terlibat tidak fokus dalam dunia Youtube. Tanpa sedar kita boleh sebenarnya menjana pendapatan daripada Youtube. “Seharusnya kita sendiri yang belajar tentang Youtube dan tidak dapat menunggu orang lain, baru kita rajin untuk belajar dengan sepenuh hati,” jelasnya lagi.

FOTO dirakam Niel yang memenangi tempat ketiga pertandingan fotografi.

Suara Sarawak